Lelaki Bangladesh ditahan disyaki cabul pelajar dalam bas

Tangkap layar tular yang memaparkan kejadian pelajar berkenaan mendakwa disentuh lelaki warga Bangladesh ketika menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Melaka.
Tangkap layar tular yang memaparkan kejadian pelajar berkenaan mendakwa disentuh lelaki warga Bangladesh ketika menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Melaka.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan selepas disyaki mencabul seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun dalam sebuah bas di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pusat Latihan Teknologi Tinggi di sini pada Khamis.

Dalam kejadian jam 6.04 petang itu, mangsa yang merupakan penuntut kolej dari Setapak, Kuala Lumpur sedang dalam perjalanan menaiki bas dari ibu negara ke Melaka.

Ketika kejadian, mangsa duduk di kerusi bernombor 11 manakala suspek duduk di sebelahnya.

Menurut laporan polis, mangsa yang sedang berehat dan memejamkan mata merasakan kaki kanannya disentuh.

“Selepas membuka mata, mangsa mendapati suspek menyentuh kakinya. Mangsa segera menepis tangan suspek dan memarahi lelaki berkenaan, yang kemudiannya meminta maaf serta mendakwa dia tertidur dan tidak sengaja melakukannya.

“Namun, suspek sekali lagi cuba menyentuh mangsa, menyebabkan mangsa bertindak merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit sebagai langkah perlindungan diri,” menurut laporan tersebut.

Mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada pemandu bas sebelum menukar tempat duduk.

Seorang lagi penumpang wanita turut memaklumkan bahawa suspek sebenarnya tidak tidur dan sengaja melakukan perbuatan tersebut.

Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi hampir dua minit yang memaparkan rakaman dibuat mangsa ketika kejadian berlaku.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, suspek berusia 39 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci telah ditahan sejurus tiba di Terminal Bas Melaka Sentral pada jam 8.30 malam dan dibawa ke Balai Polis Melaka Tengah untuk tindakan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!