Konsensus nasional baharu: Kerajaan digesa bertindak, kembalikan kegemilangan negara - Wan Saiful

WAN SAIFUL
WAN SAIFUL
A
A
A

SHAH ALAM – Cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya diwujudkan satu konsensus nasional baharu untuk mengembalikan kecemerlangan negara perlu diberi perhatian dan tindakan segera kerajaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ketika parti-parti lain sibuk mencatur kedudukan dan pengaruh masing-masing, Hamzah tampil dengan satu visi yang lebih besar demi kepentingan rakyat dan negara.

“Hamzah menggunakan analogi pasukan bola sepak yang gagal cemerlang jika hanya menumpukan kepada imej jersi dan hiasan stadium. Lebih membimbangkan apabila kapten lebih sibuk mencari populariti, tidak mempercayai rakan sepasukan, manakala pemain pula bertelagah sesama sendiri.

“Pasukan sebegini akhirnya gagal menyinar dan kehilangan penyokong. Justeru, Hamzah menekankan pentingnya melakukan perubahan menyeluruh termasuk menggantikan kapten yang sudah tidak mampu memimpin,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu usul tersebut disuarakan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu pada 22 Mei lalu yang turut dihadiri pemimpin PN merangkumi Pas, Gerakan, MIPP dan Bersatu.

Tambah Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, analogi itu tepat menggambarkan keadaan semasa pentadbiran Anwar yang disifatkan semakin terpisah daripada aspirasi rakyat.

"Rakyat kini semakin hilang keyakinan dengan retorik dan janji yang tidak ditunaikan. Sudah tiba masanya untuk kita melakukan 'reset' dan membentuk konsensus baharu yang lebih telus dan diyakini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya, Hamzah turut menggariskan kerangka utama yang akan dibawa oleh PN sekiranya diberi mandat mentadbir negara.

Aspek ekonomi, jelas beliau, perlu diperkukuh dengan menyeimbangkan perbelanjaan pembangunan dan kebajikan rakyat, menarik pelaburan berimpak tinggi serta meluaskan asas pendapatan negara.

Artikel Berkaitan:

“Dari sudut politik, negara memerlukan kepimpinan yang bersifat jujur, adil, inklusif dan diyakini rakyat. Ini penting untuk memulihkan keyakinan dan memastikan kestabilan jangka panjang,” katanya.

Jelas Wan Saiful, kehadiran pemimpin pelbagai parti dalam PN pada majlis tersebut menunjukkan kesatuan gabungan itu dalam mengangkat idea-idea segar dan konstruktif untuk negara.

“Sementara parti lawan terus bergelut dengan konflik dalaman dan percaturan jawatan, PN terus kekal fokus kepada usaha membela rakyat dan membina masa depan negara yang lebih baik,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!