Pertandingan seni MR D.I.Y. 2025 angkat identiti karya rakyat Malaysia

Teng Aik dan Cp Loo bergambar bersama pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Seni MR D.I.Y. 2025 di Menara Ken TTDI pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Teng Aik dan Cp Loo bergambar bersama pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Seni MR D.I.Y. 2025 di Menara Ken TTDI pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN - ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pertandingan Seni MR D.I.Y. 2025 wajar dijadikan platform mengangkat identiti dan kepelbagaian rakyat Malaysia menerusi karya seni yang mampu menyentuh jiwa.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MR D.I.Y., Profesor Dr Ong Teng Aik berkata, pertandingan tahunan yang memasuki edisi keempat itu bukan sekadar mencari pemenang, sebaliknya meraikan ekspresi dan nilai seni yang melambangkan jiwa masyarakat.

"Seni bukan sekadar apa yang kita lihat, tetapi apa yang kita rasa dan fahami tentang diri sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Seni MR D.I.Y. 2025 di Menara Ken TTDI, di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada majlis itu ialah Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MR D.I.Y., Datuk Seri Cp Loo.

Bertemakan ‘Identiti dan Kepelbagaian’, pertandingan itu dianjurkan dengan kerjasama Yayasan MR D.I.Y. sebagai komitmen memperkasa kreativiti dan bakat tempatan.

Teng Aik berkata, sebanyak lebih 1,000 penyertaan diterima dari seluruh negara dengan setiap karya membawa naratif unik bermula dari kisah peribadi, budaya hingga ke emosi mendalam.

Cp Loo (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang utama kategori awam pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Seni MR D.I.Y. 2025 di Menara Ken TTDI pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Cp Loo (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang utama kategori awam pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Seni MR D.I.Y. 2025 di Menara Ken TTDI pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN - ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Saya bangga melihat karya peserta yang bukan sahaja menampilkan keindahan visual, tetapi juga nilai-nilai sejagat seperti ketabahan, harapan dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pemenang utama peringkat kebangsaan akan mara ke peringkat serantau sejajar dengan usaha memberi pendedahan lebih luas kepada bakat tempatan di pentas ASEAN dan ke peringkat seterusnya.

Artikel Berkaitan:

"Kami mahu bakat-bakat ini dikenali bukan hanya dalam negara, tetapi di rantau ini dan dunia.

"Marilah kita terus menyokong seni di samping mendengar suara mereka demi membina Malaysia lebih kreatif, inklusif dan penuh kasih sayang,” katanya.

Majlis turut menghargai sumbangan panel juri, rakan kerjasama dan pasukan penganjur yang menjayakan acara berprestij itu.

Hadirin turut berpeluang menyaksikan pameran karya peserta terbaik yang dipamerkan di galeri khas sempena majlis berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!