KKM rangka RUU Pemakanan, kawal nutrisi rakyat Malaysia

KKM sedang merangka RUU Pemakanan selepas kertas cadangan berkaitannya diluluskan oleh Jemaah Menteri. Gambar hiasan
KKM sedang merangka RUU Pemakanan selepas kertas cadangan berkaitannya diluluskan oleh Jemaah Menteri. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Pemakanan selepas kertas cadangan berkaitannya diluluskan oleh Jemaah Menteri.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, bagaimanapun memaklumkan bahawa RUU berkenaan tidak akan dibentangkan di Parlimen dalam tahun ini.

"Kita telah membawa satu memorandum ke Jemaah Menteri dan ia telah diluluskan. Buat masa ini, kita sedang dalam proses merangka RUU tersebut dan ia akan dibentangkan setelah siap, namun bukan dalam tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Konvensyen Jurulatih Utama Cara Hidup Anda Terbaik (JU C-HAT) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, di sini pada Sabtu.

Pada Oktober lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Dewan Rakyat, Suhaizan Kaiat, menyatakan bahawa Akta Pemakanan Malaysia akan digubal bagi mengawal nutrisi pemakanan rakyat, khususnya kanak-kanak.

Tambah Lukanisman, KKM komited membendung isu obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja menerusi penganjuran JU C-HAT, yang menyokong pelaksanaan Pelan Strategik Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023–2030.

Berdasarkan Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), kadar prevalens berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak terus menunjukkan peningkatan.

“Bagi kanak-kanak berumur bawah lima tahun, kadar ini meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada enam peratus pada 2022.

“Bagi remaja berumur 13 hingga 17 tahun pula, prevalens meningkat daripada 28.5 peratus pada 2017 kepada 30.5 peratus pada 2022, dan ini menunjukkan bahawa seorang daripada tiga remaja mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti,” jelasnya.

Selain JU C-HAT, KKM turut melaksanakan pendekatan menyeluruh melalui penubuhan Jawatankuasa Kerja Menangani Masalah Obesiti di Malaysia, yang melibatkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.

Artikel Berkaitan:

Sejak pelaksanaan JU C-HAT pada 2019, sebanyak 1,207 aktiviti telah dijalankan oleh kumpulan sukarelawan terlatih di seluruh negara.

Konvensyen JU C-HAT yang dianjurkan bersama oleh Persatuan CAKNA Sihat Malaysia dan Bahagian Pemakanan KKM ini menghimpunkan lebih 300 peserta terdiri daripada jurulatih, pakar pemakanan, guru serta ibu bapa dari seluruh negara bagi memperkukuh ilmu, perkongsian pengalaman dan kerjasama ke arah amalan gaya hidup sihat dalam kalangan murid sekolah. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!