Tiada ‘kerusi terbang’, Kongres PKR dijangka aman

JOHOR BAHRU - Kongres Nasional PKR 2025 yang akan berlangsung di sini bermula Jumaat dijangka berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat ini pemilihan parti peringkat cabang di seluruh negara berlangsung secara aman tanpa insiden yang tidak diingini.
"Jika mengikuti pemilihan peringkat cabang, tidak berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini hingga menyebabkan kerosakan harta benda. Jadi, kita jangka di sini juga sama.
"Pemilihan secara fizikal hanya berlangsung di Johor Bahru, Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak, manakala majoriti perwakilan lain mengundi secara dalam talian menggunakan telefon pintar masing-masing," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau persiapan akhir di lokasi kongres, Konvensyen Antarabangsa Persada pada petang Khamis.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan kongres dan menyampaikan amanat penting kepada ahli parti.
“Mesej utama beliau adalah tentang penyatuan dalam parti. PKR sentiasa terbuka kepada semua, termasuk calon yang tidak menang dalam pemilihan, untuk terus menyumbang kepada perjuangan.
“Contohnya saya sendiri tewas dalam pertandingan Naib Presiden pada 2022, tetapi masih diberi kepercayaan untuk menjadi Ketua Penerangan,” katanya.
Jelas beliau, mesej kesepakatan dan semangat sepasukan amat penting menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah dan Pilihan Raya Umum ke-16.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

