Tiada aduan rasmi dakwaan salah laku Rafizi - Lembaga Disiplin PKR

SHAH ALAM - Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan salah laku membabitkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli setakat ini.
Pengerusinya, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew berkata, sekiranya benar-benar wujud sebarang tuduhan yang berasas hendaklah dikemukakan melalui saluran betul sama ada kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) atau Lembaga Disiplin untuk siasatan lanjut.
“Isu tuduhan ini merupakan perkara yang terjadi dalam parti secara dalaman. Saya tidak mahu memberi komen tentang perkara tersebut.
“Namun jika ada tuduhan, sila rujuk kepada JPP atau Lembaga Disiplin. Setakat ini saya tidak menerima sebarang aduan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini dilaporkan aduan terhadap Rafizi telah dibuat yang mendakwa
Rafizi melanggar peraturan parti yang menghalang calon daripada berkempen secara berkumpulan.
Bagaimanapun, peraturan itu tidak menyatakan hukuman secara khusus atas kesalahan melanggar etika berkenaan dan tidak jelas kepada siapa aduan tersebut dibuat.
Dalam pada itu, bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua turut mempersoalkan ketidakjelasan dakwaan salah laku terhadap ahli parti itu yang dikatakan akan berdepan tindakan disiplin sambil menyifatkan tiada pelanggaran nyata dapat dikenal pasti setakat ini.
Menurut beliau, kenyataan berhubung isu tersebut masih kabur dan tidak menyatakan secara spesifik bentuk kesalahan atau peraturan parti yang telah dilanggar.
“Saya sendiri tidak tahu apa yang mereka rujuk dan apa tindakan yang dilanggar. Hendak komen lebih pun saya bukan dalam parti.
“Cuma jika kesalahan besar dan serius seperti beli undi memang akan dikenakan tindakan disiplin, tetapi kalau salah kecil mungkin akan dapat amaran,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

