PKR harus tegas ke atas Rafizi

Rafizi menggerakkan kempen Jelajah HIRUK. (Gambar kecil: Rusdi)
Rafizi menggerakkan kempen Jelajah HIRUK. (Gambar kecil: Rusdi)
A
A
A

PEMILIHAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 bagi penggal 2025–2028 esok bakal menjadi antara yang paling mencabar dalam sejarah parti reformasi ini.

Tatkala idealisme dan perpaduan parti sepatutnya menjadi teras kempen, yang berlaku sebaliknya – perebutan jawatan Timbalan Presiden antara Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar telah membuka ruang kepada politik personaliti, serangan dalaman dan pelanggaran jelas terhadap tataetika parti.

Paling menonjol ialah tindakan Rafizi menggerakkan kempen Jelajah HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa) yang bukan sahaja meminggirkan tanggungjawabnya sebagai Menteri Ekonomi malah mencetuskan kekeliruan, ketegangan dan kritikan dalam kalangan akar umbi dan kepimpinan parti.

Tatkala negara bergelut dengan kos sara hidup, ketidaktentuan ringgit serta pelaburan asing yang perlu dipertingkat, tindakan Rafizi menjelajah ke seluruh negara dengan membawa agenda politik peribadi menimbulkan persoalan besar: Di mana keutamaan beliau sebagai anggota Jemaah Menteri? Tindakan ini membuka ruang kritikan bahawa beliau seolah-olah meletakkan kepentingan dalaman parti mengatasi mandat rakyat.

Pemilihan parti PKR 2025 bagi penggal 2025–2028 esok bakal menjadi antara yang paling mencabar dalam sejarah parti reformasi ini.
Pemilihan parti PKR 2025 bagi penggal 2025–2028 esok bakal menjadi antara yang paling mencabar dalam sejarah parti reformasi ini.

Lebih malang apabila beliau dilaporkan memberi isyarat untuk meletakkan jawatan Menteri Ekonomi jika tidak menang dalam pemilihan, satu tindakan yang dilihat sebagai bentuk ugutan politik yang tidak wajar dan tidak profesional.

Politik matang tidak mengizinkan sebarang bentuk ugutan emosi yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan dan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Kemuncak kepada kontroversi ialah apabila Rafizi mengumumkan senarai penuh ‘chai’ pilihannya – satu langkah yang bercanggah secara langsung dengan Garis Panduan Pemilihan 2025 yang ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Walaupun penggunaan 'chai' dalam bentuk digital dibenarkan secara terhad, pengumuman terbuka dan agresif Rafizi melalui Facebook memperlihatkan unsur kempen berkumpulan yang dilarang keras.

Perkara ini telah ditegur secara langsung oleh Pengerusi JPP, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, yang mengingatkan bahawa calon tidak boleh memaparkan bahan kempen dalam bentuk berkumpulan, sama ada fizikal mahupun dalam talian.

Tambahan pula, dalam kenyataan rasmi Lembaga Disiplin Parti bertarikh 14 Mei 2025, teguran mengenai keperluan menjaga peruntukan Perlembagaan PKR berikut telah dikeluarkan:

Perkara 10.1.6 – “Melindungi dan menjaga nama baik parti”

Tindakan menyerang pemimpin dalaman parti dan mendedahkan percaturan dalaman parti mencemarkan reputasi PKR sebagai parti yang bersatu padu.

Perkara 10.2.2 – “Membuat kenyataan umum yang tidak benar berbentuk fitnah terhadap mana-mana anggota parti”

Beberapa ucapan dalam siri jelajah HIRUK memperlihatkan kecenderungan menyerang peribadi dan kredibiliti pemimpin lain yang bertanding secara terbuka.

Mengikut kenyataan JPP pula, sebarang bentuk kempen berkumpulan yang mempamerkan elemen pasukan, senarai atau regu secara fizikal atau digital adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh rasmi kempen.

Larangan ini bertujuan mengelakkan pengaruh politik wang atau penyusunan kuasa secara tidak sah; perpecahan dalaman melalui pembentukan fraksi yang saling bertentangan; serta kekeliruan di kalangan pengundi akar umbi yang sepatutnya menilai calon secara individu.

Namun, pengumuman chai Rafizi 48 jam sebelum hari pengundian nyata bercanggah dengan semangat garis panduan ini.

Dalam konteks ini, tindakan Rafizi boleh membuka ruang kepada siasatan dan tindakan disiplin, termasuk amaran rasmi, penggantungan atau bahkan pemecatan jika didapati bersalah.

Kempen agresif Rafizi di bawah naratif HIRUK tidak lagi menggambarkan perjuangan kolektif reformasi, sebaliknya dilihat sebagai agenda kelompok.

Ketika parti menyeru agar semua calon menjauhi politik peribadi dan mendahulukan perpaduan, tindakan Rafizi bertentangan secara terang-terangan dengan seruan tersebut.

Apatah lagi apabila Lembaga Disiplin juga telah mengingatkan bahawa kekuatan parti bergantung kepada solidariti sesama anggota dan perbezaan pendapat sepatutnya disalurkan melalui wacana dasar, bukan serangan terbuka.

Di sebalik hiruk-pikuk politik Rafizi, pencalonan semula Nurul Izzah, yang sekian lama dianggap ikon reformasi dan integriti dalam PKR, memberi harapan baharu.

Tanpa retorik berlebihan, beliau menawarkan kepimpinan yang lebih inklusif dan berpaksikan agenda dasar parti, bukan personaliti.

Beliau juga dilihat tidak menggunakan taktik serangan terhadap rakan seperjuangan atau menjanjikan habuan politik untuk meraih sokongan.

Nurul Izzah membawa pendekatan yang lebih bersederhana dan matang – selari dengan prinsip PKR sebagai parti progresif yang menjunjung demokrasi dalaman.

Tidak ada ‘chai’, tidak ada ugutan, tidak ada serangan peribadi. Pendekatan beliau lebih konsisten dengan garis panduan pemilihan dan lebih mencerminkan seorang pemimpin reformasi tulen.

Rafizi sepatutnya menghentikan politik pecah-belah dan kembali kepada semangat idealisme yang jujur.

Beliau dan kemnya juga harus berlapang dada sekiranya kalah dalam pertandingan ini dan tidak mengambil langkah-langkah yang merosakkan parti dari dalam.

PKR tidak mampu berdepan satu lagi episod perpecahan seperti pada tahun-tahun sebelumnya.

Pemilihan PKR bukan sekadar soal menang kalah individu. Ia adalah ujian terhadap kedewasaan politik dalam parti yang mengangkat prinsip reformasi sebagai tonggak perjuangan. Dalam ujian ini, semua calon – terutama yang berjawatan dalam kerajaan – mesti sedar bahawa tingkah laku mereka mencerminkan integriti parti keseluruhan.

Jelajah HIRUK mungkin membawa slogan idealisme, tetapi jika caranya melanggar etika dan prinsip, maka idealisme itu menjadi retorik kosong yang menghancurkan parti dari dalam.

PKR tidak perlukan suara paling lantang tetapi ia perlukan jiwa paling tenang dan bijaksana untuk memimpin.

Kesimpulannya, kempen HIRUK yang dilancarkan oleh Rafizi yang pada mulanya dilihat bertujuan menghidupkan idealisme akhirnya membuka jalan kepada pencabulan etika dan pelanggaran garis panduan.

Jika PKR ingin kekal sebagai parti yang mendukung reformasi dan demokrasi, ia harus tegas dalam mempertahankan peraturan dan etika dalaman.

* Prof. Dr. Rusdi Omar ialah Dekan di Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM)

(Pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah milik penulis sepenuhnya dan tidak mencerminkan pendirian dan pendapat Sinar Harian)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!