Pemilik spa disimbah asid individu berniqab

Polis memasang pita keselamatan di lokasi simbah asid di sebuah spa di Beris Kubur Besar, Tawang Bachok.
Polis memasang pita keselamatan di lokasi simbah asid di sebuah spa di Beris Kubur Besar, Tawang Bachok.
A
A
A

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Seorang wanita terpaksa menjalani pembedahan selepas disimbah asid dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam Sabtu di sebuah spa di Beris Kubur Besar, Tawang, Bachok.

Wanita berusia 27 tahun itu berada di spanya bersama anak selepas menerima mesej daripada seorang 'pelanggan' yang mahu mendapatkan khidmat urutan.

Suami mangsa yang berusia 33 tahun memaklumkan, beliau menerima panggilan daripada isterinya sebelum terus bergegas ke premis berkenaan.

“Saya ketika itu berada di rumah kerana menjaga anak kami yang berusia setahun lebih, manakala isteri bersama anak berusia tujuh tahun,” katanya.

Menurut lelaki itu, beliau dimaklumkan bahawa terdapat antara tiga atau empat individu datang ke spa isterinya dengan berpakaian niqab.

“Sebaik membuka pintu spa, tanpa memberi salam, isteri saya terus disimbah asid,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketika itu isterinya yang memakai telekung solat sempat mengelak dan asid hanya terkena di bahagian belakang dan bahu.

“Sebaik tiba di spa, saya terus membawanya yang dalam keadaan kesakitan ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia untuk mendapatkan rawatan,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, spa berkenaan baru setahun beroperasi dan sukar untuk mengesyaki individu yang melakukan jenayah terbabit.

“Saya juga tidak pasti tahap kecederaannya tetapi berharap dia terus kuat untuk menghadapi keadaan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan mendapati suspek membuat temu janji untuk mendapatkan rawatan urut di premis milik mangsa.

Katanya, ketika mangsa sedang membuka pintu, suspek bertindak menyimbah cecair dipercayai asid sebelum melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebanyak empat kesan cap jari di tempat kejadian serta bekas yang dipercayai digunakan oleh suspek.

“Mangsa kini masih menerima rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkannya terus kepada Balai Polis Tawang atau Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!