Bubur 'bau' daging hidangan mewah penduduk miskin Afrika
Mereka memanfaatkan sebaik mungkin agihan daging korban yang diterima sehingga bekalan itu mampu bertahan sampai sebulan.

SUNGAI PETANI - Krisis makanan dan kemiskinan hidup dihadapi beberapa negara di Afrika menyebabkan penduduk tempatan sangat menghargai bantuan luar terutama dari Malaysia.
Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kedah, Zulkifli Baharom berkata, mereka memanfaatkan sebaik mungkin agihan daging korban yang diterima sehingga bekalan itu mampu bertahan sampai sebulan.
Menurutnya, hanya secubit potongan daging digunakan untuk menghasilkan bubur berbau daging sebagai hidangan seisi keluarga yang sudah dirasakan cukup mewah buat mereka.

"Seekor lembu boleh dimakan 250 orang selama sebulan...mereka ini bukan makan nasi dengan daging tetapi bubur nasi berlaukkan daging sahaja kerana kedaifan.
"Ketiadaan bekalan elektrik dan peti sejuk menyebabkan mereka jemur daging korban diterima, diambil secubit demi secubit untuk dimasukkan dalam bubur yang dimasak setiap hari...hanya ambil bau daging," jelasnya.
Zulkifli berkata, perkara tersebut merupakan hakikat sebenar yang dapat dilihat betapa penduduk di benua berkenaan begitu menghargai pemberian walau hanya secubit daging.
"Justeru, Yayasan amal Malaysia turun setiap tahun dan saya sendiri sejak 15 tahun lalu sehingga tak pernah raya di Malaysia.
"Ini kerana kita rasa terpanggil membantu saudara Islam di bumi Afrika terutamanya nak bagi mereka merasai juga nikmat Aidiladha," katanya.
Menceritakan tentang Projek Amal Korban tahun ini, jelasnya, beberapa lokasi telah dipilih antaranya Tanzania, Kaduna dan Yobe di Nigeria serta Uganda.
"Kita menyasarkan sebanyak 700 ekor kambing, 500 ekor lembu dan 50 ekor unta untuk melaksanakan ibadah korban yang mana setakat ini, sebahagiannya telah ditempah.
"Seramai 19 petugas akan turun ke lokasi berkenaan bagi menguruskan sendiri ibadah korban di sana bagi memastikan ia berjalan lancar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

