Tapak harimau ditemui di kawasan pembalakan jauh dari Lata Renyuk

JELI - Orang ramai tidak perlu bimbang untuk beriadah atau berkelah di Lata Renyuk di sini kerana penemuan tapak harimau yang digembar-gemburkan ditemui di kawasan pembalakan yang jaraknya lebih enam kilometer dari lokasi.
Penghulu Mukim Reka, Abu Bakar Yazid berkata, selepas berita mengenai penemuan tersebut, ramai yang menghubunginya bertanya tentang keadaan terkini terutama melibatkan kawasan peranginan itu.

"Ramai yang takut hendak datang berkelah dan mandi-manda apabila mendapat tahu tentang perkara tersebut.
"Sedangkan semuanya selamat di sini kerana yang menemukan tapak kaki harimau itu adalah pekerja di tapak pembalakan di mana ia merupakan kawasan rayau hidupan liar termasuk gajah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lata Renyuk di sini pada Rabu.

Menurut beliau, jarak kawasan tersebut jauh daripada kawasan peranginan dan penempatan penduduk.
Ujarnya, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah turun padang ke kawasan berkenaan untuk menjalankan pemantauan.
Abu Bakar memberitahu, Perhilitan memaklumkan ia adalah kawasan rayau harimau dan gajah.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Perhilitan Kelantan menasihatkan penduduk Kampung Renyuk berwaspada dan tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya bertembung haiwan liar seperti harimau di kawasan sekitar.
Menurut Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani, pihaknya menerima laporan daripada penduduk pada 14 Mei lepas yang mendakwa menemui kesan tapak kaki dipercayai milik harimau di kawasan hutan berhampiran kampung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!