Waffle 'diragut' monyet

SEREMBAN - Hasrat seorang lelaki untuk menikmati waffle yang baru dibelinya terbantut selepas makanan itu 'diragut' monyet dalam kejadian di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).
Kejadian itu dikongsi seorang pengguna media sosial menerusi hantaran di grup Facebook Seremban pada Selasa.
Lelaki berkenaan menggunakan akaun Mat Dafi berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang menuju ke kereta yang diletakkan di hospital berkenaan.
"Harap HTJ tangkap semua monyet belakang hospital. Tadi lepas tapau waffle Hospimart ketika mahu pergi ke kereta, monyet rampas plastik waffle aku, kempunan mahu makan waffle," kongsinya.
Pengguna media sosial memberikan komen lucu antaranya Rizwan Saaid yang berkata, makanan tersebut kena 'pau' kerana tidak dikongsi bersama.
"Biasanya kami orang-orang lama akan berkongsi makanan dengan monyet tu. Makan sorang-sorang memang kena 'pau' lah," selorohnya.
Henry Hong pula berkata, tugas pihak HTJ merawat pesakit dan bukannya menangkap monyet.
Sementara itu seorang lagi pengguna, Zurina Zahari turut meninggalkan komen bernada simpati kepada pengadu yang kempunan menikmati waffle berkenaan.
"Asal kau parking dekat belakang Mat? Kesian tak dapat makan waffle tersodap di Seremban," komennya dalam nada seloroh.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri ketika dihubungi berkata, beberapa tindakan telah diambil susulan kacau ganggu haiwan berkenaan.
"Sebelum ini kita ada terima beberapa aduan isu berkenaan selain pernah memasang sangkar untuk menangkap haiwan tersebut di kawasan berkenaan.
"Bagaimanapun kita akan membuat semakan kepada aduan terbaru ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!