Gara-gara terlalu sakit, pesakit mengamuk tumbuk doktor gigi hingga hampir buta

TAIWAN – Seorang doktor gigi wanita cedera parah selepas diserang pesakit lelakinya ketika menjalani prosedur pembersihan gigi di sebuah klinik.
Menurut ETtoday, lelaki terbabit yang dikenali dengan nama Zhou hadir ke klinik berkenaan untuk prosedur pembersihan gigi biasa.
Bagaimanapun, ketika rawatan dijalankan, Zhou beberapa kali menjerit kerana kesakitan.
Dia kemudian dipercayai ‘naik angin’, menjerit, memaki hamun dan bangun dari kerusi rawatan sebelum menyerang doktor gigi itu secara fizikal.
Menurut video yang tular di media sosial, Zhou dilihat mengejar mangsa dari kerusi rawatan sehingga ke kaunter hadapan sambil menumbuknya bertubi-tubi.
Disebabkan kekecohan itu, banyak peralatan terjatuh dan terdapat juga beberapa kesan percikan darah pada dokumen serta lantai klinik.
Dalam pada itu, seorang juruteknik penghawa dingin yang berada di lokasi cuba meminta Zhou bertenang.
Namun, lelaki yang bertubuh lebih besar itu tetap meneruskan serangan dan menumbuk muka doktor gigi berkenaan walaupun sudah dihalang.
“Saya dah cakap sakit sangat, tak boleh buat dengan lebih lembut?” jeritnya kepada mangsa.
Susulan kekecohan itu, juruteknik terbabit meminta orang lain menghubungi polis dan berjaya membawa mangsa keluar dari premis.
Zhou melarikan diri sebaik sahaja polis tiba namun meninggalkan kad insurans kesihatannya di tempat kejadian.
Tidak lama selepas itu, lelaki berkenaan menyerah diri di balai polis berdekatan.
Dia mendakwa mengalami kesakitan melampau semasa prosedur tersebut dan tidak mendapat layanan mesra daripada doktor gigi terbabit.
Zhou mengaku hilang kawalan emosi lalu menumbuk mangsa berulang kali.
Sementara itu, mangsa pula mengalami lebam pada muka, hidung berdarah dan hampir buta pada mata kiri sehingga memerlukan pembedahan.
Menurut mangsa, dia telah menjalankan prosedur itu dengan lembut dan mengesyaki Zhou bertindak menyerangnya dengan niat.
Rakan mangsa, Cai, menjelaskan bahawa doktor gigi itu sebelum ini terlibat dalam pertikaian hutang.
Mangsa dikatakan telah memenangi saman terhadap seorang penghutang yang gagal membayar pinjaman sebanyak RM4.38 juta (NT$30 juta).
Cai turut mendakwa, sejak itu mangsa sering diganggu dan percaya serangan Zhou mungkin mempunyai kaitan dengan isu berkenaan.
Bagaimanapun, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
