Keputusan STAM Kelantan meningkat ketara, 43 calon raih gred Mumtaz

Kamaruzaman (empat dari kiri) dan pentadbir di YIK menunjukkan keputusan STAM bagi tahun 2024. - FOTO: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Kamaruzaman (empat dari kiri) dan pentadbir di YIK menunjukkan keputusan STAM bagi tahun 2024. - FOTO: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 negeri Kelantan menunjukkan peningkatan ketara apabila 43 calon memperoleh gred Mumtaz (cemerlang) berbanding 28 calon pada tahun sebelumnya.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Kamaruzaman Mohamad berkata, lebih membanggakan tujuh calon Yayasan Islam Kelantan (YIK) memperoleh 10 Mumtaz bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Menurut beliau, seramai 897 calon menduduki STAM pada tahun berkenaan berbanding 891 orang pada tahun 2023 melibatkan 24 pusat peperiksaan.

“Daripada jumlah itu, 512 calon bersamaan 57.08 peratus memperoleh sekurang-kurangnya gred Maqbul atau lulus 10 mata pelajaran yang diduduki.

Majlis Pengumuman Keputusan STAM 2024 yang diadakan di Kompleks YIK, di Tunjong.- FOTO: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Majlis Pengumuman Keputusan STAM 2024 yang diadakan di Kompleks YIK, di Tunjong.- FOTO: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

“Keputusan ini menunjukkan peningkatan 2.53 peratus berbanding 2023, selain 43 calon meraih gred Mumtaz dan tujuh calon memperoleh 10 Mumtaz,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan STAM 2024 di Kompleks YIK, Tunjong pada Selasa.

Turut hadir Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Zulkifle Ab Rahman.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kamaruzaman berkata, pencapaian gred Jayyid Jiddan (amat baik) diraih 161 calon, Jayyid (baik) 266 calon dan Maqbul (lulus) 42 calon.

“Calon yang gagal memperoleh sijil ialah seramai 385, menurun berbanding 405 tahun sebelumnya manakala pencapaian gred purata peringkat YIK menurun daripada 3.09 pada 2023 kepada 3.19 tahun lepas.

“Bagaimanapun, pencapaian lulus mengikut bilangan kertas meningkat kepada 84.39 peratus berbanding 80.83 peratus,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), Maahad Muhammadi Lelaki memperoleh GPS 2.10, diikuti Maahad Muhammadi Perempuan (2.44) dan Maahad Muhammadi Pasir Pekan (2.72).

“Keseluruhan peningkatan ini hasil usaha berterusan pelbagai pihak termasuk penganjuran Kem Kecemerlangan STAM yang digerakkan lebih awal.

“Kem ini mendedahkan pelajar kepada mata pelajaran serta teknik menjawab soalan dengan lebih berkesan selain memberi motivasi dan galakan sebelum mereka memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, bagi menarik minat lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian STAM, YIK bersedia mempertimbangkan cadangan pelaksanaan STAM di universiti sepertimana pelaksanaan Program Pendidikan Tingkatan Enam di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.

“STAM kini diiktiraf setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan turut menawarkan kelebihan kemasukan yang mudah ke institusi pengajian tinggi termasuk ke Timur Tengah.

“Kami sedia untuk utarakan cadangan kepada pihak kementerian supaya STAM juga dilaksanakan di universiti,” katanya.

Pengumuman keputusan STAM itu turut disaksikan secara langsung oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat yang berada di Makkah untuk menunaikan haji.

Beliau menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pelajar atas pencapaian cemerlang serta penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

“Saya mendoakan kejayaan semua pelajar Kelantan di tanah suci,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!