Perluas Modul Aulad Sejahtera kepada semua kaum - Tuanku Muhriz

SEREMBAN – Pelaksanaan Modul Aulad Sejahtera kepada 5,000 murid di 25 tadika Islam terpilih di Negeri Sembilan bermula tahun ini perlu diperluaskan kepada semua kategori prasekolah pada fasa seterusnya.
Yang Dipertuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah modul itu tidak terbatas kepada kanak-kanak Islam semata-mata, sebaliknya relevan dan harus diterapkan kepada semua kanak-kanak tanpa mengira bangsa dan latar belakang agama.
Menurut baginda, tujuan utama modul itu adalah untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak sejak dari peringkat prasekolah.
"Nilai seperti hormat-menghormati, kasih sayang, tanggungjawab, amanah dan sopan santuni merupakan asas penting dalam pembentukan peribadi seimbang dan harmoni.
"Nilai-nilai ini juga menjadi teras dalam usaha membina sebuah masyarakat seimbang dari segi akhlak, sosial dan kemanusiaan.
"Walaupun kesannya mungkin tidak dapat dilihat dalam masa terdekat, usaha menanam dan memupuk nilai-nilai ini perlu dimulakan daripada sekarang," titah baginda selepas mendengar Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan 2024 di sini pada Selasa.
Baginda bertitah, untuk mencapai tujuan ini, tanpa menjejaskan nilai asas yang ingin diterapkan, beberapa elemen dan submodul dalam Modul Aulad Sejahtera perlu diteliti semula dan diubah suai agar ia dapat diterima semua kaum.
"Penglibatan pelbagai pihak dalam proses ini, khususnya wakil-wakil daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat, amat penting agar pendekatan yang dibangunkan benar-benar bersifat inklusif serta mencerminkan aspirasi bersama," titah baginda.
Baginda turut menzahirkan harapan agar modul ini juga dapat diserap masuk ke dalam sistem pendidikan arus perdana, khususnya di sekolah rendah, melalui mata pelajaran sedia ada iaitu Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.
"Bagi mencapai matlamat tersebut, beta menggesa agar satu usaha kerjasama yang lebih erat dibuat dengan Kementerian Pendidikan khususnya dalam aspek penyelidikan, penilaian serta pelaksanaan dasar.
"Beta yakin dengan pendekatan menyeluruh, bersepadu dan bersifat rentas kaum ini, negara akan dapat melahirkan generasi baharu yang bukan sahaja cemerlang dari sudut ilmu dan kemahiran, tetapi juga memiliki akhlak yang mulia, jiwa yang seimbang serta jati diri yang kukuh," titahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!