Negeri Sembilan pertimbang haram penjualan vape

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Status penjualan rokok elektronik atau vape akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan untuk perbincangan, termasuk pertimbangan cadangan pengharaman penjualan seperti yang dilaksanakan di beberapa negeri lain.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan tersebut akan mengambil kira syor daripada Kementerian Kesihatan selain merujuk fatwa semasa yang dikeluarkan.
Menurutnya, buat masa ini kerajaan negeri akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan pemantauan dan penguatkuasaan khususnya berkenaan penjualan vape 'magic mushroom' yang membimbangkan.
“Perbincangan bersama PBT akan dilakukan untuk menyelaraskan tindakan dengan lebih terancang.
“Pengharaman vape merupakan satu cadangan yang baik, ia akan dibawa ke MMKN dan ia akan diharamkan jika memberikan kesan serius kepada kesihatan.
“Cuma saya minta penguatkuasaan penjualan vape 'magic mushroom', itu paling penting untuk diselesaikan dulu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco pada Rabu.
Untuk tindakan segera, katanya, beliau meminta PBT tidak mengeluarkan lesen untuk penjualan rokok elektronik.
“Kita akan semak status pengeluaran vape oleh PBT, difahamkan permohonan lesen itu adalah di bawah perniagaan elektrik. Jika ada, kita akan minta permohonan lesen baharu dibekukan.
“Apa pun, kita akan semak dan teliti terlebih dahulu supaya apa juga keputusan dan tindakan yang dilaksanakan kelak dibuat dalam keadaan teratur,” ujar beliau.
Pada masa sama, beliau berpandangan pengharaman penjualan vape peringkat negeri tidak akan memberikan penyelesaian sepenuhnya susulan pengguna boleh mendapatkan bekalan tersebut melalui platform jualan atas talian.
“Kalau haram jual di kedai, nanti ada yang jual secara sembunyi kemudian hantar melalui kurier pula. Orang sekarang semakin bijak, di kedai haram tapi melalui kurier boleh pula.
“Ini semua perkara yang perlu diteliti dan mahu lihat keberkesanan dengan mencari penyelesaian terbaik untuk pelaksanaan kelak,” katanya.
Setakat ini, beberapa negeri telah mengambil inisiatif mengharamkan penjualan vape antaranya Johor, Terengganu dan Perlis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!