'Kitman' Arsenal dipecat kerana sokong Palestin, fail tindakan saman

SEORANG bekas kakitangan Arsenal FC memfailkan saman terhadap kelab itu selepas mendakwa dia dipecat kerana menyuarakan sokongan terhadap Palestin di media sosial.
Mark Bonnick, 61, yang telah berkhidmat lebih 20 tahun sebagai kitman atau pegawai pengurusan kelengkapan pasukan, mendakwa menjadi mangsa kempen fitnah dalam talian selepas membuat beberapa hantaran di platform X (dahulunya Twitter) mengenai konflik di Gaza, akhir tahun lalu.
Dia kemudiannya diberhentikan daripada tugasnya beberapa hari sebelum sambutan Krismas.
Dalam tuntutannya di Tribunal Pekerjaan Watford, Bonnick mendakwa Arsenal tunduk kepada tekanan penyokong pro-Israel menerusi satu proses tatatertib yang dianggap terlalu tergesa-gesa dan tidak adil apabila dia dituduh mencemarkan nama baik kelab.
“Saya dipecat bukan kerana salah laku, tetapi kerana meluahkan kesedihan dan kemarahan terhadap genosid.
“Walaupun saya sudah hampir bersara, saya tidak menyesal. Arsenal harus memohon maaf, kembalikan jawatan saya dan ambil pendirian menentang perkauman anti-Palestin.”
Antara hantaran dilakukan Bonnick mengenai Hamas telah menawarkan pembebasan semua tebusan pada Oktober, tetapi Israel menolaknya.
Dalam satu lagi hantaran bertarikh 7 Disember, dia menulis: 'Kenapa mereka harus dilindungi lebih daripada komuniti lain? Ada yang melihat ini sebagai masalah dan komuniti Yahudi menganggap diri mereka perlu didahulukan.'
Beberapa hantaran lain turut menyebut istilah seperti 'penghapusan etnik' dan 'ketuanan Yahudi'.
Arsenal kemudian memaklumkan akan menjalankan siasatan dalaman sebelum mendapati hantaran tersebut boleh dianggap menyinggung perasaan atau bersifat provokatif lalu memutuskan Bonnick telah mencemarkan nama kelab serta melanggar dasar media sosial.
Dia dipecat secara rasmi pada 24 Disember dan rayuannya ditolak pada Februari tahun ini.
Peguam Bonnick menyatakan pemecatan itu adalah tidak seimbang dan bersifat diskriminasi serta menyifatkannya sebagai bentuk gangguan di tempat kerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
