Final Liga Europa penentu nasib Manchester United, Amorim

PERLAWANAN akhir Liga Europa menentang Tottenham Hotspur di Bilbao pada Khamis ini bakal menjadi titik penentu buat Manchester United, bukan sahaja dalam misi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara, malah turut menentukan masa depan pengendali pasukan, Ruben Amorim.
Meskipun musim ini dilihat sebagai antara yang paling suram dalam sejarah kelab, kejayaan di Bilbao menjadi satu-satunya laluan buat United kembali bersaing di pentas Eropah musim depan buat kelab yang sedang bergelut di tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut.
Kekalahan dalam aksi final bukan sahaja akan menjejaskan moral penyokong setia yang sekian lama menanti kebangkitan, malah membawa implikasi kewangan yang besar buat kelab bola sepak popular dunia tersebut.
Menurut pemilik bersama kelab, Jim Ratcliffe, kelayakan ke Liga Juara-Juara dianggarkan bernilai antara 80 hingga 100 juta pound daripada hasil penyiaran, kutipan hari perlawanan dan pendapatan komersial.
“Liga Juara-Juara mampu mengubah segalanya. Pada masa ini, kami belum cukup bersedia untuk benar-benar bersaing dalam Liga Perdana, apatah lagi Liga Juara-Juara.
“Tetapi sekiranya layak, kami akan memiliki bajet yang berbeza untuk membentuk pasukan lebih mantap bagi musim hadapan,” kata Amorim.
Menjulang trofi Liga Europa bakal menjadi satu-satunya pencapaian bermakna bagi United dalam musim yang penuh kekecewaan ini.
Kekalahan 0-1 kepada Chelsea pada Jumaat lalu merupakan kekalahan ke-18 dalam saingan liga musim ini — sekali gus menyaksikan United mencatatkan musim liga pertama dalam sejarah kelab tanpa kemenangan berturut-turut.
Jumlah kekalahan tersebut juga yang tertinggi sejak musim 1973–1974, musim terakhir mereka tersingkir daripada liga utama.
United kini gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan liga berturut-turut.
Namun begitu, di pentas Eropah, persembahan United jauh lebih konsisten apabila masih belum tewas sepanjang kempen Liga Europa dan menewaskan Athletic Bilbao dengan agregat 7-1 di separuh akhir.
Pasukan bimbingan Amorim turut nyaris tersingkir di suku akhir apabila berdepan cabaran sengit daripada wakil Ligue 1 Perancis, Olympique Lyonnais.
Namun jaringan dramatik daripada Kobbie Mainoo dan Harry Maguire — masing-masing pada penghujung perlawanan dan masa tambahan minit ke-121 — memastikan kemenangan penuh debaran buat Red Devils.
“Kami mara ke final tanpa sebarang kekalahan, dan itu sesuatu yang patut di banggakan penyokong-penyokong Manchester United.
“Saingan di pentas Eropah sangat mencabar kerana kami berdepan pelbagai pasukan dengan gaya permainan yang berbeza daripada apa yang kami biasa hadapi di England.
"Keupayaan mengekalkan keputusan konsisten merupakan pencapaian positif buat musim ini,” ujar pertahanan Diogo Dalot.
Sekiranya menang, Amorim dijangka dapat meredakan tekanan ke atasnya — sebagaimana yang dinikmati bekas pengendali Erik ten Hag selepas menjulang Piala FA musim lalu, sebelum menandatangani lanjutan kontrak setahun.
Namun, bekas pengendali kelab Liga Eredivisie Belanda Ajax Amsterdam itu akhirnya dipecat berikutan permulaan musim yang mengecewakan pada 29 Oktober lalu.
Prestasi United di bawah Amorim turut mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong, namun jurulatih berusia 40 tahun itu tetap berpegang kepada keyakinan tinggi menjelang perlawanan akhir yang amat dinantikan ini.
“Sudah tentu kami perlu percaya. Saya sangat yakin dan merasakan pemain-pemain United sudah bersedia sepenuhnya.
“Mereka faham betapa pentingnya perlawanan ini — bukan hanya buat kami, tetapi untuk penyokong dan juga maruah kelab. Selepas musim yang sukar ini, kami ingin menutup tirai dengan sesuatu yang dapat dikenang secara positif.
“Kami akan bersedia. Ini merupakan perlawanan yang berbeza, dalam suasana yang berbeza. Apa yang paling penting ialah perubahan mentaliti dalam pasukan saya. Mereka kini berdaya saing, dan itu yang paling penting bagi saya,” tegas Amorim.
INFO
LIGA EUROPA
KHAMIS (22 MEI)
FINAL
Tottenham Hotspur lwn Manchester United
(Stdm Estadio de San Mames, 3 pagi)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!