Warga emas didakwa kerana sering beri makan kucing jiran

ZURICH - Seorang warga emas dihadapkan ke mahkamah kerana kerap memberi makan kepada seekor kucing milik jirannya, meskipun telah berkali-kali diberi amaran supaya menghentikan perbuatan tersebut.
Wanita berusia 68 tahun itu dilaporkan memberi makan seekor kucing bernama Leo hampir setiap hari selama setahun.
Lebih mengejutkan, wanita tersebut turut memasang pintu khas di rumahnya bagi membolehkan kucing itu bebas keluar masuk kediamannya, menjadikan rumahnya seperti tempat 'persinggahan tetap' bagi haiwan tersebut.
Tindakan itu menyebabkan kucing berkenaan semakin jarang pulang ke rumah asal dan tidak lagi menjamah makanan yang disediakan oleh pemilik sebenar.
Merasa hak penjagaan terhadap haiwan peliharaannya ‘dirampas’, pemilik asal kucing tersebut membuat laporan kepada pihak berkuasa, lalu membawa kes itu ke Pejabat Pendakwa Zurich.
Susulan siasatan, wanita terbabit dikenakan denda sebanyak 800 franc Swiss (kira-kira RM4,105), selain denda penggantungan berjumlah 3,600 franc (kira-kira RM18,471) kerana didapati melanggar undang-undang berkaitan pemilikan haiwan.
Bagaimanapun, wanita itu enggan membayar denda tersebut, menyebabkan kes berlarutan dan dibawa ke mahkamah.
Di Switzerland, memberi makan haiwan milik orang lain tidak dianggap satu kesalahan sekiranya dilakukan secara sekali-sekala. Namun, jika dilakukan secara berterusan sehingga menjejaskan hubungan antara haiwan tersebut dengan pemilik asal, tindakan itu boleh dianggap sebagai satu pelanggaran undang-undang.
Kes tersebut dibicarakan secara tertutup di Mahkamah Daerah Zurich minggu lalu dengan kehadiran kedua-dua pihak bersama peguam masing-masing.
Dalam keputusan yang dibuat, kucing itu kini secara rasmi menjadi milik wanita berkenaan selepas pemilik asal menarik balik laporan polis terhadapnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

