166 projek perumahan sakit, terbengkalai berjaya dipulihkan

SHAH ALAM – Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) berjaya memulihkan sebanyak 166 projek perumahan swasta melibatkan 19,205 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM11.58 bilion bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 49 projek merangkumi 7,413 unit rumah berjaya dipulihkan dalam tempoh 1 hingga 30 April.
Menurutnya, daripada 49 projek yang berjaya ditangani pada bulan April itu, sebanyak 45 projek telah berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan empat projek sakit telah kembali menjadi projek yang lancar.
"Sehingga 30 April tahun ini, TFST telah mengesan dan memantau sebanyak 233 projek perumahan swasta yang dikategorikan sebagai lewat, 339 projek sebagai sakit dan 114 projek sebagai terbengkalai di seluruh negara.
"Berdasarkan perbandingan dengan data pada 31 Mac 2025 yang lalu, jumlah projek sakit telah mencatatkan penurunan daripada 360 kepada 339 projek, manakala projek lewat turut menunjukkan penurunan daripada 267 kepada 233 projek.
"Sementara itu, jumlah projek terbengkalai masih kekal sebanyak 114 projek. Secara keseluruhan, projek-projek ini melibatkan nilai GDV sebanyak RM101.98 bilion dan merangkumi 119,964 unit rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Aiman Athirah menambah, penurunan jumlah projek sakit itu didorong oleh usaha bersepadu TFST bersama sokongan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal dan agensi penyedia utiliti hingga membuahkan hasil yang ketara.
Ujarnya, ia juga selaras dengan agenda utama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) demi kesejahteraan pembeli rumah yang terjejas.
"TFST akan terus memainkan peranan utama sebagai platform penyelesaian dalam menangani isu projek perumahan swasta yang bermasalah dengan mengemukakan cadangan penyelesaian yang berkesan bagi melindungi kepentingan pembeli. Inisiatif ini selaras dengan matlamat KPKT untuk mencapai sifar projek terbengkalai menjelang tahun 2030.
"Usaha yang dilaksanakan bukan sahaja membuktikan keberkesanan intervensi kerajaan, malah turut menunjukkan hasil yang positif menerusi kerjasama erat semua pihak berkepentingan demi memastikan hak pembeli rumah di negara ini terus dilindungi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

