AADK tidak kompromi pegawai salah laku, langgar integriti

EAIC memaklumkan bahawa pihaknya menerima aduan terhadap Pengarah Negeri AADK Negeri Sembilan berhubung isu serbuan pusat hiburan. Gambar kecil: Ruslin
EAIC memaklumkan bahawa pihaknya menerima aduan terhadap Pengarah Negeri AADK Negeri Sembilan berhubung isu serbuan pusat hiburan. Gambar kecil: Ruslin
A
A
A

SHAH ALAM – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat dalam salah laku serta pelanggaran integriti.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap laporan keputusan siasatan salah laku melibatkan pegawai AADK Negeri Sembilan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Menurutnya, AADK akan mengambil tindakan segera berdasarkan dapatan siasatan tersebut.

“AADK tidak sesekali berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat dalam salah laku dan pelanggaran integriti.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan yang didapati bersalah berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, AADK sentiasa mengingatkan semua kakitangannya agar melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti, selaras dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS).

Tambahnya, sebagai sebuah agensi penguat kuasa, AADK akan terus bekerjasama rapat dengan EAIC dalam usaha meningkatkan tadbir urus yang baik dalam agensi.

“Ini khususnya melibatkan siasatan terhadap sebarang aduan berkaitan salah laku dan integriti dalam kalangan kakitangan AADK,” ujarnya.

Terdahulu pada Isnin, EAIC memaklumkan bahawa pihaknya menerima aduan terhadap Pengarah Negeri AADK Negeri Sembilan berhubung isu serbuan pusat hiburan.

Artikel Berkaitan:

EAIC dalam kenyataan menjelaskan bahawa pengarah terbabit dikatakan telah mengeluarkan arahan untuk menjalankan operasi serbuan ke atas sebuah kelab malam pada waktu siang, sedangkan aduan yang diterima melibatkan aktiviti jenayah yang berlaku pada waktu malam.

Operasi tersebut juga dilaporkan dijalankan tanpa kebenaran dan kelulusan khas daripada Pengarah Penguatkuasaan, Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan, Ibu Pejabat AADK.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!