Tiga rumah teres terbakar di Sungai Isap Murni

KUANTAN – Tiga rumah teres setingkat musnah dalam satu kebakaran di Taman Sungai Isap Murni, di sini, malam Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota, Timbalan Penguasa Bomba II (KUP), Abdul Rahim Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.07 malam.
Menurutnya, seramai 18 anggota bersama empat jentera dari BBP Indera Mahkota dan BBP Kuantan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres setingkat.
“Kebakaran dipercayai bermula dari rumah bernombor 6 yang musnah sepenuhnya, sebelum merebak ke rumah bernombor 4 dan 8 yang masing-masing terbakar sebanyak lima peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Abdul Rahim menambah, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.02 malam.
Jelasnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan beberapa aliran hos dengan bekalan air disalurkan daripada tangki air bomba sepanjang operasi berlangsung.
“Bantuan turut diterima daripada pasukan BBP Kuantan yang menggunakan satu aliran hos sepanjang 300 kaki bersama satu muncung pancutan.
“Bantuan bekalan air daripada tangki air bergerak (Water Tanker) BBP Indera Mahkota melalui satu aliran hos ke jentera,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!