Md Idlan pamer karakter juara

AFB: Permulaan bergaya buat pelumba Boon Siew Honda Racing Team di Litar Antarabangsa Sepang

Md Idlan pamer aksi bertenaga untuk muncul juara biarpun berdepan berdepan tentangan sengit Aiki Iyoshi dari Motul Manual Tech Racing Team.
Md Idlan pamer aksi bertenaga untuk muncul juara biarpun berdepan berdepan tentangan sengit Aiki Iyoshi dari Motul Manual Tech Racing Team.
A
A
A

HARI ini menjadi detik cemerlang buat pelumba Boon Siew Honda Racing Team, Md Idlan Haqimi Raduan pada aksi pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2020 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

Pelumba yang menggunakan jentera Honda CBR250 RR itu memahat nama sebagai juara pada Perlumbaan 1 kelas AP250cc meskipun berdepan tentangan sengit daripada pelumba Jepun, Aiki Iyoshi (Motul Manual Tech Racing Team).

Idlan terpaksa menunggu beberapa saat sebelum meraikan kejayaannya itu bersama krew pasukan kerana kedudukannya dengan Iyoshi hampir sama ketika mencecah garisan penamat.

Begitupun, kelebihan memihak kepada Idlan selepas catatannya 19:40.866 saat (s) mengesahkannya sebagai juara mutlak pada Perlumbaan 1 itu.

Iyoshi yang ketinggalan satu saat di belakang terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala rakan sepasukan Idlan, Muhammad Izam Ikmal di tempat ketiga dengan merekodkan masa 19:41.214s.

Kejayaan tersebut merupakan yang terbaik pernah dicatat oleh Boon Siew Honda Racing yang mula dilancarkan pertengahan musim lalu.

Menurut Idlan, dia sangat bersyukur kerana segala kerja kerasnya selama ini telah membuahkan hasil yang sangat membanggakan.

“Kejayaan ini sukar dilupakannya kerana ia dicatat di pentas Asia dan semua pelumba mengidamkannya.

Artikel Berkaitan:

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya yang telah bertungkus lumus menyediakan jentera terbaik buat saya sepanjang minggu ini.

“Kemenangan ini akan mencetuskan semangat saya untuk terus bekerja keras dalam misi memburu lebih banyak kejayaan selepas ini. Ini adalah permulaan,” jelas Idlan.

Terdahulu, pelumba ONEXOX TKKR SAG Team, Wahyu Aji Trilaksana dari Indonesia menepati ramalan apabila menjuarai Perlumbaan 1 kelas UB150cc.

Wahyu yang menguasai sesi latihan bebas semalam, meneruskan rentak cemerlangnya pada perlumbaan sebenar hari ini dan dia tampil terpantas dengan catatan masa 15:36.063s untuk bergelar juara.

Meskipun berada dalam kelompok belakang di awal perlumbaan, namun dia kekal konsisten untuk mengikut rentak yang dipamerkan oleh pencabarnya.

Pendahulu perlumbaan saling bersilih ganti sepanjang saingan tersebut sehinggalah pada dua lap terakhir menyaksikan Wahyu mula melancarkan asakan.

Dia mempergunakan sepenuhnya kelebihan yang ada pada jentera Yamaha Y15 ZR tunggangannya untuk menjarakkan diri di hadapan pelumba lain.

Strateginya berhasil meskipun pada lap terakhir, Ahmad Fazrul Sham (Cardinals Racing Team) cuba memintas, namun menemui kegagalan.

Fazrul akhirnya berpuas hati untuk menghuni tempat kedua dengan masa 15:36.108s manakala pelumba Team One For All dari Thailand, Peerapong Luiboonpeng di tempat ketiga dengan catatan masa 15:36.138s.

Esok mereka akan sekali lagi mengerah tenaga untuk membuat perhitungan dalam Perlumbaan 2.