Piala FA: Eze wira Eagles, City gigit jari musim tanpa trofi

CRYSTAL Palace mencipta sejarah gemilang apabila menewaskan Manchester City 1-0 dalam perlawanan akhir Piala FA, sekali gus menjulang trofi utama pertama dalam sejarah penubuhan The Eagles.
Perlawanan akhir di Stadium Wembley itu menyaksikan, Eberechi Eze muncul wira Eagles apabila menyempurnakan serangan balas pantas hasil gerakan Daniel Munoz menewaskan penjaga gol City, Stefan Ortega minit ke-16.
"Inilah impian yang menjadi kenyataan, buat saya dan kelab ini. Siapa sangka kita mampu melakukannya? Kita telah mencipta sejarah," kata Eze, yang pernah ditolak Arsenal dan beberapa kelab lain ketika remaja.
Kekalahan itu menyaksikan Manchester City berdepan episod penuh kekecewaan, apabila musim ini berakhir tanpa sebarang trofi kali pertama sejak pengendali mereka, Pep Guardiola, mengemudi pasukan pada musim 2016-2017.
Perlawanan juga dipalit kontroversi apabila penjaga gol Palace, Dean Henderson, tidak dilayangkan kad merah walaupun dilihat jelas menyentuh bola di luar kawasan penalti semasa diasak Erling Haaland.

Video bantuan pengadil (VAR) memutuskan Haaland tidak berada dalam kedudukan untuk menjaringkan gol secara langsung sekali gus menafikan peluang keemasan City.
Henderson juga terus mengukir nama sebagai wira apabila menyelamatkan sepakan penalti Omar Marmoush pada minit ke-36, selepas Tyrick Mitchell menjatuhkan Bernardo Silva dalam kotak penalti.
Menariknya, Haaland enggan mengambil penalti tersebut selepas gagal menjaringkan gol menerusi tiga daripada tujuh sepakan terakhirnya.
City menguasai majoriti penguasaan bola, namun anak buah Oliver Glasner bertahan dengan penuh disiplin dan semangat juang tinggi.
Henderson tampil cemerlang dengan beberapa aksi menyelamat menakjubkan — antaranya menafikan percubaan Haaland, Josko Gvardiol dan Jeremy Doku pada babak pertama, sebelum menggagalkan usaha Claudio Echeverri separuh masa kedua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
