Harimau Malaya kena menang!

Ketua jurulatih Skuad Bola Sepak Kebangsaan, Tan Cheng Hoe (kiri) ketika sidang media menjelang pertemuan antara Malaysia dan Myanmar sempena Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto Bernama
Ketua jurulatih Skuad Bola Sepak Kebangsaan, Tan Cheng Hoe (kiri) ketika sidang media menjelang pertemuan antara Malaysia dan Myanmar sempena Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
HARIMAU Malaya tidak mempunyai pilihan selain mencatat kemenangan menentang Myanmar dalam aksi terakhir Kumpulan A esok, untuk menempah slot ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018.

Aksi bertemu skuad ‘The White Angels’ itu adalah misi ‘hidup mati’ Malaysia, malah keputusan seri juga tidak mencukupi bagi pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe mara ke saingan empat pasukan terbaik setelah hanya mengumpul enam mata dan berada di kedudukan ketiga di belakang Myanmar dan Vietnam, masing-masing mengutip tujuh mata setakat ini.

Namun beraksi di hadapan penonton tuan rumah di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya memiliki kelebihan meraih tiga mata berharga, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan ke atas Myanmar dalam empat pertemuan terakhir, sebelum ini.

"Ia perlawanan sangat penting dan kita perlu mengutip tiga mata, tetapi kita harus menghormati Myanmar yang beraksi dengan baik setakat ini....jadi ia bukan perlawanan mudah.

“Saya pasti beraksi di gelanggang sendiri akan memberi motivasi kepada pemain dan sebagai jurulatih, saya mahu pemain memberi sepenuh tumpuan dalam perlawanan genting ini kerana kesilapan boleh berlaku,” kata Cheng Hoe pada sidang media menjelang perlawanan berkenaan, di Stadium Nasional di sini hari ini.

Mengikut statistik, Malaysia gagal memenangi sebarang perlawanan dalam empat pertemuan terakhir berdepan Myanmar, dengan mengalami dua kekalahan termasuk 0-1 ketika aksi peringkat kumpulan pada Piala AFF Suzuki 2016.

Kali terakhir Malaysia menewaskan Myanmar adalah pada 2011 apabila mencatat kemenangan 2-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berharap pemainnya dapat menampilkan kemampuan mereka dan menggandakan usaha, selain mengurangkan kesilapan seperti dilakukan ketika menentang Vietnam yang menyaksikan skuad negara tumpas 0-2 walaupun menguasai hampir keseluruhan perlawanan.

“Kita tewas 0-2 kepada Vietnam tetapi kita perlu kekal dengan strategi dan corak permainan kita. Myanmar sudah tentu mengatur strategi dengan serangan balas pantas, jadi kita perlu berwaspada ketika melakukan serangan,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Untuk rekod, Malaysia sebelum ini memenangi dua perlawanan awal menentang Kemboja dan Laos, dan kemenangan pada perlawanan esok, akan menyaksikan Malaysia menempah tempat ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan A.

Ia berikutan, di atas kertas Vietnam dijangka tidak berdepan masalah mengutip tiga mata menentang Kemboja di Hanoi, esok, sekali gus muncul juara kumpulan berkenaan.- Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!