Aston Villa nyalakan impian Liga Juara-Juara

ASTON Villa menyalakan harapan untuk meraih tempat ke Liga Juara-Juara dengan kemenangan selesa 2-0 ke atas Tottenham Hotspur dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Villa Park.
Kemenangan kelapan dalam sembilan perlawanan EPL itu mengangkat skuad kendalian Unai Emery ke tangga kelima, satu mata di atas Manchester City.
Pasukan tuan rumah membuka jaringan sejurus sebelum sejam permainan menerusi sepakan penjuru John McGinn yang ditanduk Ollie Watkins, sebelum ditolak masuk Ezri Konsa minit ke-59.
Boubacar Kamara kemudian memastikan kemenangan Villa, apabila menjaringkan gol pertama liga hasil rembatan deras pada minit ke-73 menewaskan penjaga gol Spurs, Antonin Kinsky.
McGinn juga berpeluang melebarkan jaringan buat Villa yang sedikit tersasar dalam persembahan dominan anak buah Emery.
Kini, The Villans perlu memenangi perlawanan terakhir musim ini di Manchester United sambil berharap keputusan lain memihak kepada mereka untuk mengesahkan kedudukan dalam kelompok lima teratas.
Skuad Spurs kendalian Ange Postecoglou yang dibelenggu kecederaan tidak banyak memberikan ancaman dan kekal di tangga keempat dari bawah sambil mengalihkan tumpuan kepada final Liga Europa menentang Manchester United kendalian Ruben Amorim pada Khamis, 22 Mei.
Tuan rumah mendominasi separuh masa pertama tetapi gagal menembusi gawang yang dikawal rapi oleh Kinsky.
Tandukan kemas Morgan Rodgers ditepis keluar, begitu juga hantaran lintang Watkins, manakala percubaan melengkung Marco Asensio sedikit tersasar.
Musim ketiga bola sepak Eropah bakal tiba di Villa Park, namun nasib mereka dalam pertandingan mana - Liga Juara-Juara atau Liga Europa atau Liga Konferensi Europa - akan ditentukan pada hari terakhir.
Sementara itu, Emery menyifatkan Aston Villa berada di kemuncak prestasi mereka musim ini selepas menewaskan Tottenham Hotspur dalam perlawanan kedua terakhir kempen liga.
Kemenangan 2-0 di Villa Park mengekalkan harapan tuan rumah untuk menamatkan saingan dalam kelompok lima teratas menjelang perlawanan terakhir minggu depan, apabila Villa bertandang ke Manchester United.
"Secara beransur-ansur kami menjadi lebih baik. Sudah tentu, kami seri beberapa perlawanan dalam perjalanan ini dan kini kami kehilangan beberapa mata dari saat-saat itu, tetapi kami harus menerimanya.
"Kami harus menerima 37 perlawanan yang telah kami mainkan dengan konsisten, lebih kurang, dan mencapai tahap di mana kami berada sekarang, berasa baik dan berada di kemuncak prestasi kami.
"Kami sedang mencapai cabaran yang kami hadapi. Kami menikmati saingan dalam Piala FA dan Piala Liga, tetapi yang paling utama adalah peluang kami di Liga Juara-Juara.
"Liga Perdana Inggeris adalah pertandingan paling penting yang kami hadapi kerana melaluinya kami sekali lagi mencapai objektif utama kami, dan objektifnya adalah untuk berada di Eropah.
"Kami akan beraksi di Eropah tahun depan tetapi kami masih dalam perebutan kedudukan Liga Juara-Juara, dan kami mungkin mempunyai peluang dalam perlawanan terakhir di Manchester untuk mencapainya," katanya.
Apa pun keputusannya, ia merupakan satu lagi musim yang membanggakan di bawah kepimpinan Emery yang mencatatkan kemenangan ke-54 dalam perlawanan liga ke-100nya sebagai pengendali The Villans.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!