Cikgu meninggal selepas sesak nafas, kejang otot ketika sarapan di sekolah

TAMPIN - Seorang guru meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas dan kekejangan otot ketika bersarapan di kantin sekolah, pada Jumaat.
Kejadian jam 7.40 pagi itu berlaku ketika Allahyarham, Khairul Anuar Ismail, 46, sedang bersarapan bersama beberapa guru lain.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, pihaknya telah menerima panggilan telefon dari orang awam pada jam 9.20 pagi menyatakan ada seorang lelaki meninggal dunia di Hospital Tentera Kem Syed Sirajuddin.
"Siasatan mendapati, lelaki itu yang merupakan seorang guru bersama beberapa orang guru lain sedang bersarapan di kantin sekolah.
"Namun dia dikatakan tiba-tiba alami sesak nafas dan kekejangan otot badan, lalu dibawa ke Hospital Tentera Kem Syed Sirajuddin," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, pihak hospital telah memberikan bantuan pernafasan kepada guru terbabit, namun usaha menyelamatkannya gagal dan disahkan meninggal dunia.
Ujarnya, laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tampin mendapati, guru itu meninggal dunia akibat serangan jantung.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!