Penjenayah maut ditembak di Bukit Jambul

Kejadian berlaku di Lintang Bukit Jambul pada jam 4.30 pagi, Khamis.
Kejadian berlaku di Lintang Bukit Jambul pada jam 4.30 pagi, Khamis.
A
A
A
GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut selepas melepaskan tembakan ke arah polis dalam satu kejadian di Jalan Lintang Bukit Jambul, Bayan Lepas pada awal pagi Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.05 pagi itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang sedang menjalankan operasi cegah jenayah sebelum terserempak dengan sebuah kereta jenis BMW dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, ketika pasukan polis menghampiri kenderaan tersebut dan memperkenalkan diri sebagai polis, suspek tiba-tiba keluar dari kereta dan melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis.

“Pasukan polis kemudiannya melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri dan hasil pemeriksaan lanjut, suspek disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi turut menemukan pelbagai barang antaranya sepucuk pistol jenis FNP-45 bersama tiga butir peluru, sebatang besi, dua batang kayu rotan dan dua bilah parang.

"Polis juga menemui 15 peket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine, anggaran berat 22.5 gram dan satu alat disyaki digunakan sebagai pengacau isyarat atau jammer signal.

"Turut ditemui, pelbagai jenis pakaian dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah," ujarnya.

Katanya lagi, siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 35 tahun serta mempunyai 19 rekod jenayah lampau dan 15 kesalahan lampau berkaitan narkotik.

“Beberapa tangkapan berasingan turut dibuat ke atas tujuh lelaki dan seorang wanita, kesemuanya warga tempatan yang disyaki terlibat dengan suspek dalam aktiviti jenayah.
Artikel Berkaitan:


"Empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau, manakala empat lagi tiada sebarang rekod,” katanya.

Tambah Hamzah, dengan tertumpasnya kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan 25 kes samun, pecah rumah dan pecah dobi di sekitar Pulau Pinang, membabitkan jumlah kerugian dianggarkan lebih RM500,000.

“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta Seksyen 8 Akta Senjatapi 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!