'Mayat terbaring rupanya anak saudara'

Dua motosikal yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan salah seorang daripadanya maut di Jalan Batu 40, hari ini.
Dua motosikal yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan salah seorang daripadanya maut di Jalan Batu 40, hari ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Keputusan memberhentikan kenderaan untuk melihat mangsa kemalangan di Batu 40 di sini mengejutkan seorang wanita apabila sekujur tubuh yang ditutup kain putih itu ialah anak saudaranya sendiri.

Fazilah Hashim, 54, berkata, ketika itu dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Bagan Nakhoda Omar.

Katanya, dia yang memandu kereta Perodua Kancil pada mulanya mahu meneruskan perjalanan tetapi tiba-tiba tidak sedap hati ketika melalui tempat kejadian.

Kemalangan membabitkan dua motosikal pada jam 8.10 pagi tadi itu mengakibatkan anak saudaranya Muhammad Farihin Idham Mohamad Taufik, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Turut terbabit dalam kemalangan itu ialah adik Muhammad Farihin Idham, Muhammad Fariz Zaquan Mohamad Taufik, 10, yang parah pada bahagian kepala manakala penunggang sebuah motosikal lain berusia 21 tahun patah kaki dan tangan.

Fazilah berkata, dia kemudiannya memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan terus menghubungi ibu Muhammad Farihin, Fairus Hashim, 38.

"Saya bertanya kepada ibu arwah di mana Muhammad Farihin berada dan dimaklumkan arwah dan adiknya keluar membuang sampah.

"Hati saya berdebar dan segera berpatah balik melihat kemalangan itu dan ternyata mayat itu anak saudara saya sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fazilah berkata, dia sememangnya rapat dengan Muhammad Farihin sejak kecil dan menganggapnya seperti anak sendiri.

"Biasanya pada hujung minggu dan cuti sekolah saya membawa Muhammad Farihin ke rumah dan dia kerap datang ke sini.

"Saya amat terasa dengan pemergiannya apatah lagi dia seorang anak yang baik dan periang," katanya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mohd Fauzi Hashim, 40, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anak sulung dari tiga beradik itu kira-kira jam 8.30 pagi.

"Saya sempat menegur arwah ketika dia melalui hadapan gerai nasi lemak sebelum ke tempat kerja, tapi tak sangka itu teguran terakhir," katanya.

Katanya, arwah turut menunjukkan sikap pelik apabila memohon maaf kepada ibu dan neneknya di rumah malam tadi.

"Ibu arwah beritahu Muhammad Farihin jumpa nenek dan ibunya yang sedang menumis sambal nasi lemak meminta maaf atas segala kesalahan dilakukan," katanya.

Katanya, jenazah Muhammad Farihin dijangka disembahyangkan di Masjid Ubudiah, Bagan Nakhoda Omar (BNO) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung BNO.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kemalangan berlaku ketika dua beradik itu dalam perjalanan dari Pekan Sabak Bernam menuju ke rumah mereka di Batu 38 manakala sebuah motosikal dari BNO ke Jalan Tepi Estet, Sabak Bernam.

Beliau memberitahu, sejurus tiba di lokasi kejadian dua motosikal itu disyaki bergesel antara satu sama lain menyebabkan terjatuh dan semua mangsa tercampak di atas jalan raya.

"Muhammad Farihin disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua mangsa lagi dibawa ke HTAJ Sabak Bernam dan kemudian dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB) kerana kecederaan serius pada kepala.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.