'Ada cubaan bentuk kerajaan tanpa Bersatu di Perak'

Muhamad Arafat ketika ditemui pemberita hari ini.
Muhamad Arafat ketika ditemui pemberita hari ini.
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendakwa, terdapat usaha baru dilakukan Muafakat Nasional untuk membentuk kerajaan di negeri ini tanpa melibatkan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, pakatan itu cuba bertindak sedemikian sepertimana berlaku di Melaka yang menyaksikan dua wakil rakyat Bersatu disingkirkan dari kerjasama membentuk kerajaan.

"Apa yang difahamkan kepada saya, situasi berlaku di Melaka mereka cuba nak jadikan di Perak, itu rancangan yang sedang mereka lakukan.

"Benar atau tidak...itu kita tak tahulah," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Menurutnya, gabungan UMNO dan Pas yang memiliki 28 kerusi didakwa telah berjaya memperoleh sokongan seorang wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang lain.

"Jadi sekarang mereka ada 29 kerusi, hanya perlukan seorang bentuk kerajaan tanpa melibatkan Bersatu sepertimana di Melaka," katanya.

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mana-mana parti gabungan hanya memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi bagi membentuk kerajaan.

Ketika ini, PH Perak mempunyai 28 kerusi sementara UMNO (25), Pas (3), Bersatu (2) dan Bebas (1).

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Muhamad Arafat mendedahkan dirinya ditawarkan jawatan Exco sekiranya bersetuju menyertai gabungan Muafakat Nasional untuk membentuk kerajaan negeri di Perak.

Bagaimanapun, wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menolak tawaran berkenaan kerana berpegang kepada prinsip parti.

Laporan sebuah portal berita sebelum ini mendedahkan, terdapat dua ADUN DAP dan seorang ADUN PKR akan melompat parti menyokong kerajaan baharu.

Mengulas lanjut, Muhamad Arafat yakin episod lompat parti tidak akan berlaku di kalangan empat ADUN PKR negeri ini meskipun ada kalangan mereka tidak sependapat dalam parti.

"Saya bersama ADUN Simpang Pulai (Tan Kar Hing) dan Teja (Sandrea Ng) memang selalu berhubung, seorang lagi rakan tu, kurang sedikit, tetapi kita tak boleh berprasangka sama ada beliau berubah hati atau tidak.

"Saya yakin beliau tetap dengan parti dan kekal memberikan sokongan bagi mengekalkan kerajaan negeri sedia ada," katanya merujuk kepada ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari.

Terdahulu, Muhamad Arafat hadir ke Majlis Hi-Tea dan Ramah Mesra bersama Ahli-ahli Alumni 4B (M) Kawasan Tambun.