Taman Tema B.Duck pertama dibuka di Pavilion Bukit Jalil

SHAH ALAM - Watak kartun ikonik Asia, B.Duck bakal membuat kemunculan pertama dalam skala terbesar di Malaysia menerusi pembukaan taman tema pertamanya di B.Duck City Funs Pavilion Bukit Jalil.
Ketua Pegawai Eksekutif Retail Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd, Datuk Joyce Yap berkata, bermula Mei hingga 2 November 2025, kawasan terbuka Piazza di pusat membeli-belah itu akan ditukar menjadi taman tema.
Selain itu, terdapat pelbagai tarikan mesra keluarga seperti permainan, aktiviti interaktif, zon bergambar dan jualan barangan eksklusif.
Menurutnya, B.Duck, yang mula diperkenalkan pada tahun 2005 dan menjadi watak kegemaran ramai di Asia, kini dibawakan oleh One Universe dengan sokongan Pavilion Bukit Jalil sebagai lokasi utama pelancaran taman tema sulungnya di rantau ini.
“Kami akan terus berusaha menyediakan pengalaman yang menggembirakan selain mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“B.Duck City Funs ialah satu sambutan penuh warna-warni terhadap imaginasi dan permainan.
"Ia adalah ruang di mana keluarga dan peminat dari pelbagai lapisan umur boleh berkumpul dan mencipta kenangan bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif One Universal Production Sdn Bhd dan One Universe World Sdn Bhd, Alvin Lee, pihaknya turut merancang untuk memperluaskan konsep taman tema berkenaan ke negeri lain dalam masa terdekat.
Tambah beliau, antara tarikan utama taman tema tersebut termasuk Bathroom Battle yang membawa pengunjung merasai pengalaman menaiki tab mandi ikonik B.Duck, manakala Treasure Pirate Ship pula menjanjikan pengembaraan mendebarkan selain kawasan Windmill Trampoline yang ceria.
“Kami merancang untuk membuka sekurang-kurangnya dua lagi lokasi iaitu di Pulau Pinang dan Johor Bahru serta terbuka kepada model francais bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati pengalaman B.Duck City Funs,” ujarnya.
Bagi menambah keselesaan pengunjung, B. Duck City Funs turut bekerjasama dengan platform pelancongan terkemuka Asia, Klook untuk memudahkan pembelian tiket secara dalam talian.
Pengunjung boleh menempah tiket lebih awal, menikmati penjimatan hingga 10 peratus serta mengelakkan barisan panjang di kaunter tiket.
Pengurus Besar Klook untuk Indonesia, Malaysia dan Singapura, Sarah Wan berkata, kerjasama itu akan menyumbang kepada pengalaman keluarga yang lebih mudah dan menyeronokkan.
“Tarikan visual turut menjadi nilai tambah taman tema ini, antaranya gerbang cahaya B.Duck yang menjadi mercu utama, patung-patung B.Duck dalam pelbagai kostum serta zon bergambar bertema seperti Around The World dan suasana romantik Paris.
“Pada hujung minggu terpilih, pengunjung juga berpeluang bertemu secara langsung dengan maskot B.Duck, selain menyertai pencarian figur B.Duck tersembunyi di seluruh kawasan pusat beli-belah, menjadikannya aktiviti yang menarik untuk seisi keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, bagi peminat barangan eksklusif, taman tema itu turut menawarkan pelbagai koleksi rasmi termasuk pakaian, aksesori, cenderamata dan barangan edisi khas yang hanya boleh didapati di B.Duck City Funs.
Kemudahan makanan juga tidak dilupakan dengan pelbagai pilihan gerai menjual hidangan dari Korea, Thailand, Jepun dan Malaysia.
Tiket masuk ditawarkan serendah RM15 bagi satu permainan, manakala pakej nilai seperti Family Day Pass untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak berharga RM150, memberikan akses tanpa had ke semua tarikan sepanjang hari.
Taman tema tersebut beroperasi pada hari Isnin, Rabu dan Khamis dari pukul 2 petang hingga 10 malam manakala pada hari Jumaat hingga Ahad dari pukul 11 pagi hingga 10 malam.
Ia ditutup setiap hari Selasa bagi tujuan penyelenggaraan, kecuali pada hari pelepasan am.
Dengan menggabungkan hiburan, visual yang memukau dan suasana mesra keluarga, B.Duck City Funs dijangka menjadi destinasi wajib dikunjungi bagi warga kota termasuk pelancong sepanjang musim cuti nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
