Libatkan guru dalam membuat keputusan - Saifuddin

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan perlu melibatkan guru secara bermakna dalam proses reformasi pendidikan melalui penghakupayaan, perwakilan dan perundingan yang menyeluruh di semua peringkat, kata Ketua Biro Pendidikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, penglibatan itu harus meliputi peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam aspek perancangan, pelaksanaan serta penilaian reformasi pendidikan.

“Saya mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk menggerakkan reformasi pendidikan. Dalam konteks ini, Perikatan Nasional (PN) telah menyiapkan Cadangan Reformasi Pendidikan (CRP) pada Mac 2024.

“Matlamat CRP ialah memperkasa negara berteraskan ilmu, yang merangkumi aspek falsafah, dasar, undang-undang, ekosistem, kurikulum, TVET, sumber manusia, mutu pengajaran, teknologi digital, perpaduan, pengantarabangsaan serta peranan ibu bapa dan alumni,” katanya dalam kenyataan bersempena Sambutan Hari Guru 2025 pada Jumaat.

Menurutnya, kerangka CRP meliputi lima komponen utama iaitu falsafah dan dasar; aliran, sistem, kurikulum dan kokurikulum; sumber manusia; penghakupayaan dan kebolehpasaran pelajar serta perundangan dan governans.

Saifuddin turut menekankan keperluan melahirkan guru pakar dalam pelbagai bidang bertaraf antarabangsa, memperbanyakkan dana penyelidikan perguruan, menambah baik skim perkhidmatan guru, menangani isu persaraan awal serta meringankan beban tugas guru dengan penambahan pembantu dan kerani.

“CRP ini telah melalui proses libat urus termasuk perbahasan di Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pembinaan Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia (JKPK) yang saya pengerusikan.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek atas kehadiran dalam Mesyuarat JKPK pada 16 Oktober 2024. Dalam sesi itu, isu reformasi pendidikan turut dibincangkan dan dimaklumkan bahawa pelan pendidikan sedang dirangka KPM serta akan dibentangkan kepada JKPK,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!