Skim Jaminan Air Mentah perkukuh operasi loji rawatan air

Amirudin (depan, empat dari kiri) mendengar taklimat terperinci projek yang memaparkan model pelan induk Skim Jaminan Air Mentah semasa sesi lawatan tapak.
Amirudin (depan, empat dari kiri) mendengar taklimat terperinci projek yang memaparkan model pelan induk Skim Jaminan Air Mentah semasa sesi lawatan tapak.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pelaksanaan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) oleh Kerajaan Negeri Selangor akan memperkukuh operasi loji rawatan air (LRA) di negeri tersebut.

Inisiatif yang disambut baik oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bertujuan memastikan kelangsungan bekalan air bersih kepada rakyat, walaupun terdapat insiden pencemaran sumber air mentah.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, projek tersebut bukan sahaja melindungi kelangsungan operasi LRA tetapi juga memperkukuh keyakinan pengguna.

Menurutnya, Air Selangor akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan sistem tersebut berfungsi secara optimum.

“Air Selangor menyambut baik projek Skim Jaminan Air Mentah ini sebagai satu bentuk kesiapsiagaan jangka panjang.

"Ia bukan sahaja melindungi kelangsungan operasi loji rawatan air kami, tetapi juga memperkukuh keyakinan pengguna terhadap kebolehpercayaan sistem air di Selangor.

“Sebagai rakan pelaksana dalam memastikan kejayaan operasi sistem ini, kami di Air Selangor akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk memastikan sistem ini dapat berfungsi secara optimum demi kesejahteraan 9.62 juta pengguna kami di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan komponen tersebut penting dalam pelan jangka panjang untuk menangani insiden pencemaran air mentah yang pernah menyebabkan gangguan besar kepada pengguna sejak tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sistem tersebut menggunakan air mentah alternatif dari kolam Horas 600 dan Kolam Hang Tuah untuk disalurkan terus ke muka sauk loji rawatan air seperti LRA Rantau Panjang termasuk Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, serta SSP3, sekali gus mengelakkan pengambilan air tercemar dari sungai.

“Inisiatif Skim Jaminan Air Mentah ini bukan sahaja untuk menangani pencemaran, tetapi merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang negeri untuk menjamin kelangsungan bekalan air mentah dalam menghadapi perubahan iklim dan musim kemarau.

"Skim Jaminan Air Mentah merupakan langkah strategik dalam memastikan loji-loji rawatan air utama terus beroperasi dan bekalan air kepada rakyat tidak terganggu walaupun ketika berlaku pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

“Saya yakin dengan adanya skim ini, negeri Selangor akan lebih tangkas dan mampu mengatasi henti tugas loji rawatan air yang disebabkan oleh pencemaran sungai sehingga 95 peratus,” katanya.

Air Selangor juga menyokong pendekatan pelbagai lapisan yang diambil kerajaan negeri seperti pelaksanaan Zero Discharge Policy, prinsip Polluters Pay, dan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam program pemantauan sungai, yang keseluruhannya membentuk sistem pengurusan air lebih mampan serta bertanggungjawab.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!