Lelaki lemas ketika cari emas di Sungai Berhamah

LIPIS - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki ditemui lemas ketika menjalankan aktiviti mencari emas di Sungai Berhamah, Merapoh, Kuala Lipis pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, mayat mangsa, Ayub Ahmad, 37, ditemui pasukan penyelamat bersama penduduk kampung jam 11.30 malam pada hari yang sama.
Menurutnya, siasatan mendapati, mangsa pergi ke sungai itu jam 10 pagi untuk mencari emas dengan menggunakan pam penyedut pasir.
"Jarak sungai dari rumahnya di Kampung Berhamah di sini hanya kira-kira satu kilometer.
"Bagaimanapun kira-kira jam 7 petang, abangnya menyedari mangsa tidak pulang ke rumah lalu keluar mencari di kawasan sungai tersebut," katanya.
Ismail berkata, kira-kira jam 9 malam, abangnya menemui barang milik mangsa di tepi sungai itu.
"Abang mangsa kemudiannya datang ke balai untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Beliau berkata, susulan maklumat diterima, sepasukan anggota ke lokasi bersama penduduk kampung untuk mencari mangsa di sekitar tempat kejadian.
"Mangsa berjaya ditemui bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Merapoh yang tiba di lokasi itu.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk proses bedah siasat dan punca kematian dikenal pasti akibat lemas," katanya.
Beliau berkata, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun telah ditemui sebelum bomba tiba.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!