Ejen hartanah sambilan ditemui lemas di tasik

SUNGAI BULOH - Misteri kehilangan seorang ejen hartanah terungkai setelah mayatnya ditemukan, dipercayai akibat lemas, di Tasik Astana Alam, Puncak Alam di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan penemuan seorang lelaki dalam keadaan terapung di tasik berkenaan.
“Laporan diterima kira-kira jam 10.45 pagi dan anggota polis kemudiannya bergerak ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Semakan mendapati isteri kepada individu terbabit telah membuat laporan polis dan menyatakan suaminya keluar dari rumah pada Sabtu kira-kira jam 5 pagi dalam keadaan tidak terurus,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki itu berumur 31 tahun dan bekerja sebagai ejen hartanah sambilan.
“Setakat ini, pihak polis tidak menjumpai sebarang unsur jenayah di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut atau sudden death report (SDR).
“Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi yang mungkin menjejaskan siasatan.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Fuzi Kamazan di talian 012-3818167,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!