Rockology Concert Tour 2025 satukan Awie dan Search Kid Din

Awie akan kembali bergabung bersama Search Kid Din dalam Rockology Concert Tour 2025.
Awie akan kembali bergabung bersama Search Kid Din dalam Rockology Concert Tour 2025.
A
A
A

DUNIA hiburan tempatan terus meriah dengan pelancaran rasmi RPM Group of Companies, sebuah entiti baharu yang menghimpunkan tiga entiti dinamik dalam dunia seni dan hiburan.

Ia meliputi Rumah Produksi Merah Sdn Bhd yang bertindak selaku peneraju dalam produksi kandungan kreatif dan penerbitan drama, filem dan program-program hiburan berimpak tinggi; RPM Events Sdn Bhd dan RPM Label Sdn Bhd.

Pengarah RPM Group of Companies, Datuk Eddy Amir Salim berkata, penubuhan RPM Group of Companies bukan sekadar gabungan syarikat, tetapi satu gerakan untuk memperkukuh industri hiburan Malaysia dengan pendekatan yang lebih profesional, tersusun dan berimpak tinggi.

"Dengan adanya Rumah Produksi Merah, RPM Events dan RPM Labels di bawah satu bumbung, kami percaya sinergi ini akan menghasilkan karya-karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi nilai kepada masyarakat dan negara," ujarnya.

Simbolik kepada pelancaran itu turut menyaksikan pengenalan Rockology Concert Tour 2025, sebuah jelajah konsert berskala nasional anjuran penuh oleh RPM Events Sdn Bhd, yang bertujuan mengangkat semula kegemilangan muzik rock Malaysia.

Konsert jelajah ini bakal menampilkan dua nama besar dalam industri muzik rock tanah air, iaitu Datuk Awie dan Search Kid Din, dalam satu pentas penuh nostalgia dan tenaga.

"Saya terima pelawaan untuk terlibat dalam Rockology Concert Tour 2025 kerana saya percaya pada misi dan semangat di sebalik jelajah ini.

"Ia bukan sekadar konsert biasa, ini adalah satu gerakan untuk menghidupkan semula jiwa rock tanah air," ungkap Awie.

Artikel Berkaitan:

Rockology Concert Tour 2025 akan berlangsung di dua negeri iaitu Midtown Perda, Pulau Pinang pada 21 Jun depan bagi North Chapter, diikuti EduCity Sports Complex, Johor pada 5 Julai bagi South Chapter.

Jelajah ini dijangka menarik sehingga 15,000 peminat muzik rock dari seluruh Malaysia serta Singapura.

Tiket untuk Rockology Concert Tour 2025 – North Chapter kini telah mula dijual di laman web https://rpm.ubertickets.asia/ dengan harga mampu milik bermula serendah RM98.

"Kami mahu pastikan konsert ini dapat dinikmati oleh semua golongan peminat muzik rock tanah air, tanpa mengira latar belakang.

"Ini adalah peluang untuk rakyat Malaysia menyaksikan gabungan legenda rock seperti Awie dan Search Kid Din dalam satu pentas bersejarah," tambah Eddy.

Bagaimanapun, untuk tiket Rockology Concert Tour 2025 – South Chapter akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!