Restoran langgar syarat di Bandar Botanik dikompaun

KLANG – Sebanyak empat kompaun dan satu notis dikeluarkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) terhadap pemilik restoran di sekitar Jalan Ramin 1, 2 dan 3, Bandar Botanik dalam satu operasi penguatkuasaan pematuhan syarat lesen di sini.
Operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan MPK pada Selasa itu menyasarkan tiga premis restoran yang telah diperiksa dan disahkan mempunyai lesen perniagaan serta iklan yang sah.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati berlaku beberapa pelanggaran syarat antaranya penempatan ‘stall’ serta meja dan kerusi di kaki lima premis, selain sinki yang diletakkan di lorong belakang.
Turut didapati, papan iklan yang dipasang tidak disertakan bersama penggunaan bahasa kebangsaan, melanggar peraturan sedia ada.
MPK dalam kenyataan memaklumkan, satu kompaun dikenakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 20, Pelesenan Establisymen Makanan (MPK) 2007 dan satu notis dikeluarkan di bawah UUK 3(1), Undang-Undang Kecil Iklan (MPK) 2007.
"Tiga lagi kompaun turut dikeluarkan di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974," menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan itu di laman Facebooknya pada Rabu.
MPK menegaskan, operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan syarat dan peraturan ditetapkan demi menjaga kebersihan serta keselamatan kawasan perniagaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!