Ringgit dibuka mengukuh selepas ketegangan dagangan AS-China reda

RINGGIT memulakan sesi urus niaga Rabu dengan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan ketegangan dagangan AS–China yang terus mereda, sekali gus menyuntik sentimen positif di pasaran, mengurangkan kebimbangan terhadap kemelesetan serta merangsang minat risiko dalam kalangan peniaga dan pelabur, kata penganalisis.
Pada jam 8.01 pagi, ringgit meningkat kepada 4.3045/3245 berbanding dolar AS daripada 4.3185/3250 ketika penutupan sebelumnya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) AS meningkat 2.3 peratus tahun ke tahun pada April, lebih rendah daripada jangkaan pasaran iaitu 2.4 peratus, manakala IHP teras kekal pada paras 2.8 peratus.
“Penurunan IHP itu juga menunjukkan bahawa kebimbangan terhadap inflasi yang disebabkan oleh tarif AS mungkin tidak lagi ketara pada masa ini,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, data ekonomi semasa turut menunjukkan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) mempunyai ruang dasar untuk mengurangkan Kadar Dana Fed pada masa hadapan.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang dijadual bersidang pada 17–18 Jun akan menjadi tumpuan penting ketika bank pusat AS membuat persiapan bagi mengumumkan unjuran makroekonomi bagi suku terkini, katanya.
Indeks Optimis Perniagaan Bebas, yang mencerminkan sentimen perniagaan kecil, susut kepada 95.8 mata pada April – penurunan bulan keempat berturut-turut sejak Januari tahun ini.
“Oleh itu, alasan untuk menurunkan kadar faedah adalah wajar berikutan sentimen perniagaan yang lemah boleh menyebabkan pengurangan perbelanjaan modal dan minat pengambilan pekerja,” tambahnya.
Prestasi Ringgit Berbanding Mata Wang Lain
Mengulas mengenai ringgit, Mohd Afzanizam berkata unit tempatan itu telah menyusut nilai sebanyak 2.8 peratus berbanding dolar AS sejak 5 Mei lalu.
Pada Selasa, ringgit menyusut berbanding dolar AS yang mencecah paras RM4.34 pada sebelah pagi, namun pulih kepada RM4.3218 pada waktu tengah hari.
“Ini menunjukkan sokongan terhadap ringgit adalah agak ketara berikutan minat terhadap risiko dalam ekuiti global lazimnya memberi manfaat kepada mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit.
“Berikutan itu, pasangan USD/MYR diunjur diniagakan dalam julat RM4.32 hingga RM4.33 hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ringgit mengukuh sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.9179/9319 daripada 2.9181/9227, namun susut berbanding euro kepada 4.8146/8370 daripada 4.7961/8033 dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.7258/7524 daripada 5.7056/7142.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN lain termasuk mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3076/3235 daripada 3.3084/3137, dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 258.8/260.2 daripada 259.7/260.2.
Ringgit turut mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9521/13.0229 daripada 12.9958/13.0240 serta naik berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.76 daripada 7.74/7.76 sebelumnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!