Tiga persetujuan penting Petronas-Petros dimeterai - Abang Johari

KUCHING – Tiga persetujuan utama berkaitan kedudukan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) telah dicapai hasil pertemuan antara Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Abang Johari memaklumkan bahawa dokumen rasmi mengenai persetujuan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat dan diyakini akan memberikan impak besar terhadap hak serta peranan negeri Sarawak dalam industri minyak dan gas negara.
“Tunggu dalam masa dua hari ini kerana akan ada dokumen perjanjian antara saya dan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Selasa.
Beliau turut memberikan bayangan mengenai tiga perkara utama yang dipersetujui bersama Perdana Menteri.
“Pertama, pengiktirafan terhadap undang-undang persekutuan dan negeri. Kedua, Petros diiktiraf sebagai pengagregat tunggal gas Sarawak. Ketiga, perjanjian komersial termasuk Sarawak meningkatkan pegangan dalam projek gas asli cecair (LNG),” ujarnya.
Sebelum ini, Abang Johari dan Anwar telah mengadakan perbincangan mengenai isu Petronas dan Petros yang tertumpu kepada penyelarasan peranan antara syarikat minyak dan gas nasional serta negeri dengan pendekatan ‘menang-menang’ demi kepentingan kedua-dua pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!