Putrajaya, Sarawak sepakat selesaikan isu Petronas-Petros - Pejabat PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, di Perdana Putra pada Jumaat. -FOTO PMO
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, di Perdana Putra pada Jumaat. -FOTO PMO
A
A
A

PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan segala isu berbangkit antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) secara rundingan.

Perkara itu dimuktamadkan dalam satu pertemuan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, di Perdana Putra pada Jumaat.

Pertemuan tersebut turut disertai oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua syarikat minyak dan gas berkenaan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memuktamadkan prinsip asas dalam masa terdekat bagi memudahkan rundingan antara Petronas dan Petros.

“Langkah ini penting bagi memastikan potensi besar hasil kerjasama Petronas dan Petros dapat diteroka secara menyeluruh serta dilaksanakan dengan berkesan.

“Ini termasuk mempercepatkan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri dan Premier Sarawak turut menyatakan komitmen bersama untuk menyelesaikan semua isu terdahulu melalui perbincangan yang berterusan dan membina.

Kerjasama antara Petronas dan Petros dijangka dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab tenaga serantau yang mampan, selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih seimbang antara wilayah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!