Penubuhan Lift & Escalator Academy tanda pencapaian baharu industri TVET negara

PERASMIAN Lift & Escalator Academy, anak syarikat Potensi Terus Industries pada Selasa menandakan satu pencapaian baharu dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia khususnya dalam teknologi pengangkutan menegak.
Menurut Pengasas Potensi Terus Industries Sdn Bhd dan Lift & Escalator Academy, Datuk Fan Kong Thiam, penubuhan akademi tersebut menerapkan nilai keselamatan, kecekapan dan kelestarian dalam kalangan juruteknik masa depan melalui kurikulum yang ketat dan platform latihan bertaraf industri.
“Matlamat utama kami adalah mengubah ilmu dan pensijilan yang diperoleh pelajar kepada amalan teknikal menerusi satu program yang sistematik,” katanya.
Sementara itu, Principal Lift & Escalator Academy, Ir. Ahmad Khalil Azri berkata, akademi dilengkapi dengan dua unit model lif bersaiz sebenar dan sistem diagnostik untuk tujuan pengajaran.
“Program yang ditawarkan meliputi pensijilan tahap SKM, bengkel pemasangan dan penyelenggaraan, serta latihan lanjutan kejuruteraan yang sejajar dengan piawaian antarabangsa dan peraturan Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, wakil Inovance Technology Co., Ltd, Pengurus Jualan Regional Encik Xia, turut mengumumkan kerjasama dengan Potensi Terus Industries.
Gabungan kepakaran R&D global Inovance dalam kawalan automasi bangunan bersama program akademi tersebut akan memupuk pemindahan teknologi dan pembangunan bakat tempatan serta pembaharuan dalam ekosistem lif di rantau ini.
Ketiga-tiga pihak bersetuju kerjasama rentas sempadan berteraskan TVET ini bakal melahirkan barisan profesional pengangkutan menegak yang mengutamakan keselamatan untuk Malaysia dan rantau ASEAN secara keseluruhan sekali gus membawa pertumbuhan transformatif kepada industri lif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!