Lelaki selamba letak kerusi, cop parkir

PORT DICKSON - Tindakan seorang lelaki yang meletakkan kerusi bagi menahan petak parkir di Pantai Purnama di sini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengunjung berikutan kawasan parkir yang terhad.
Video mengenai kejadian itu tular di media sosial dan dikongsi oleh seorang pengunjung yang berang dengan sikap mementingkan diri individu tersebut.
Menerusi video berdurasi 19 saat itu, pemilik akaun Prince Firdaus memaklumkan bahawa kejadian berlaku pada hari Ahad sekitar jam 6.44 petang.
"Tiga kali pusing mencari parkir, apabila ada kereta keluar, kemudian ketika hendak masuk, ada satu keluarga ini menahan parkir. Mereka memberi alasan kereta mereka jauh dan jika parkir di situ, ia akan memudahkan untuk memasukkan barang ke dalam kereta," katanya menerusi hantaran yang tular itu.
Untuk makluman, perbuatan menahan parkir dengan meletakkan halangan seperti kerusi, batu atau pasu bunga di petak parkir adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Hukuman bagi kesalahan pertama adalah denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, manakala bagi kesalahan berikutnya, denda boleh sehingga RM4,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.
Sementara itu, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata pihaknya telah mengarahkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk mengambil maklum aduan tersebut.
"Menahan tempat seperti ini tidak dibenarkan dan saya telah meminta MPPD untuk mengambil tindakan. Sesiapa pun tidak boleh menahan parkir," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!