Malaysia sudah sedia hadapi libasan Nepal

SKUAD regu negara tetap berwaspada dengan tentangan sengit yang bakal diberikan Nepal dalam aksi pembuka tirai Kumpulan D Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa bermula Selasa.
Kapten skuad negara, Farhan Adam berkata, para pemain perlu menghormati kemampuan Nepal, biarpun atas kertas pasukan lawan dilihat tidak memberikan ancaman besar.
“Kami sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan pertama nanti. Enggan pandang mudah pasukan lawan, tetap beri yang terbaik untuk raih kemenangan pertama,” katanya.
Aksi Malaysia berdepan Nepal dijadualkan bermula pada jam 2 petang.
Mengulas mengenai pasukan lawan, Farhan atau mesra disapa Emon melihat tiada keperluan untuk terlalu memberi tumpuan kepada keupayaan mereka, sebaliknya mahu memberi keutamaan kepada kekuatan permainan skuad negara.
“Apa yang penting, kami fokus kepada corak permainan kami sendiri. Seperti yang dirancang oleh jurulatih, kami akan cuba melaksanakannya sebaik mungkin dalam perlawanan nanti,” katanya.
Menyentuh mengenai masa depannya bersama pasukan negara, apit kiri berusia 36 tahun itu mengakui belum memikirkan soal persaraan kerana masih ada misi yang belum selesai.
“Saya masih ada misi yang ingin dicapai bersama pasukan iaitu mahu menjadi juara regu berpasukan.
“Apabila selesai, baru saya akan fikir mengenai masa depan dalam skuad kebangsaan,” ujar Farhan.
Selain Nepal, Malaysia diundi bersama Singapura dan Filipina.
Farhan bersama tekong berbisa, Syahir Rosdi dan apit kanan, Azlan Alias menjadi taruhan skuad regu untuk menghadiahkan gelaran buat negara.
Pasukan negara turut diperkuatkan dengan kehadiran Khairul Aman Mohd Rosdi dan Haziq Hairul Nizam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
