Pacuan empat roda rempuh motosikal: Pembonceng kritikal, ditidurkan

Insiden terbabit turut dimuat naik menerusi laman sosial milik artis dan pempengaruh Caprice atau Ariz Ramli.
Insiden terbabit turut dimuat naik menerusi laman sosial milik artis dan pempengaruh Caprice atau Ariz Ramli.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pembonceng motosikal yang terlibat dalam insiden langgar lari dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di dekat plaza tol ibu kota pada Sabtu dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Kejadian tersebut turut tular selepas dimuat naik di laman sosial milik artis dan pempengaruh, Caprice (Ariz Ramli).

Dalam hantaran tersebut, Caprice meminta pihak berkuasa untuk menyiasat kes langgar lari berkenaan, sambil menyatakan maklumat yang diterimanya mendakwa kenderaan pacuan empat roda yang terlibat mempunyai pelekat tertera tulisan 'Polis Diraja Malaysia' (PDRM).

"Minta PDRM tolong siasat kes langgar lari ini. Menurut kawan kepada mangsa, trak pikap Navara ini ada stiker dekat belakang yang tulis PDRM. Harap-harap PDRM boleh cepat-cepat semak dan bantu. Insya-ALLAH. Takut orang awam salah guna stiker," tulis Caprice dalam hantaran tersebut.

Dalam ruangan komen, seorang individu turut mengesahkan bahawa pembonceng motosikal terbabit kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Keadaan mangsa dilaporkan kritikal dan berada dalam zon merah, dengan pihak hospital terpaksa menidurkan mangsa. Suami mangsa pula dilaporkan mengalami patah bahu dan kecederaan pada bahagian kaki.

"Terima kasih Caprice, sahabat saya ni sekarang di Hospital Sungai Buloh, keadaan dia di zon merah, isteri dia ditidurkan. Suami dia pula mengalami patah bahu dan cedera pada bahagian kaki," jelas individu berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar sebuah motosikal berhampiran plaza tol di ibu kota pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian kini sedang berusaha mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak polis berhubung kejadian tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!