Lelaki mental serah diri lepas tikam pekebun

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

RAUB - Seorang pekebun dilaporkan kritikal selepas ditikam seorang penganggur di Kampung Cina Sempalit, Raub di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, mangsa, Yap Chin Nam, 52, ditikam dengan sebilah pisau di bahagian belakang oleh suspek berusia 47 tahun yang juga seorang pesakit mental.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, suspek yang dilaporkan sering bertengkar dengan mangsa dikatakan keluar rumah sambil membawa sebilah pisau menuju ke rumah mangsa dengan menaiki sebuah motosikal kira-kira jam 8 pagi.

Mangsa ditikam suspek dalam kejadian di hadapan rumahnya pagi tadi.
Mangsa ditikam suspek dalam kejadian di hadapan rumahnya pagi tadi.

"Sebaik tiba di hadapan rumah mangsa kira-kira 10 minit kemudian, suspek melihat lelaki itu keluar dengan motosikal lalu bertindak mengejar dengan motosikalnya dan menikam sekali di bahagian badan mangsa.

"Suspek yang memiliki kad rawatan pesakit mental di Bentong kemudiannya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub kira-kira jam 8.30 pagi dan memaklumkan dia telah menikam mangsa di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Raub oleh orang awam dan dimasukkan ke dalam wad kecemasan Zon Merah hospital terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata dan siasatan lanjut diteruskan, manakala suspek ditahan selama empat hari untuk tujuan siasatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan: