Lelaki mengaku tuhan, jamin pengikut masuk syurga

JAYAPURA – Seorang lelaki berambut panjang menjadi tular selepas mengaku dirinya sebagai tuhan.
Frengky Monim atau FM di Genyem, Distrik Nimboran, Kabupaten Jayapura, Papua di Indonesia didakwa memimpin ajaran sesat yang mempunyai kira-kira 20 pengikut.
Klip dan gambar kumpulan kultus itu turut tersebar secara meluas di media sosial.
FM mengaku dia berupaya menyembuhkan orang sakit, menjamin orang masuk syurga selain mempraktikkan ajaran yang menyimpang seperti 'beribadah' tanpa memakai baju dan membenarkan hubungan intim secara bebas dalam kalangan pengikutnya.
"Komuniti setempat di Nimboran yang bimbang dengan kewujudan kumpulan ajaran sesat itu bertindak segera mengusir mereka pada awal bulan lalu. FM bersama pengikutnya telah melarikan diri ke Sorong," kata jurucakap pihak berkuasa, Umar Nasatekay.
Menurutnya, kumpulan itu mula aktif sejak tiga bulan lalu malah turut mendirikan 'pondok ibadah' di belakang sebuah sekolah. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!