UMNO jinakkan DAP?

Jika dinamika politik tidak berubah dan UMNO dapat mempertahankan semua kerusi Parlimennya berserta tambahan beberapa kerusi lagi, mungkin jumlah kerusi UMNO sekitar 30-40, iaitu separuh daripada kerusi DAP. (Gambar kecil: Marzuki)
Jika dinamika politik tidak berubah dan UMNO dapat mempertahankan semua kerusi Parlimennya berserta tambahan beberapa kerusi lagi, mungkin jumlah kerusi UMNO sekitar 30-40, iaitu separuh daripada kerusi DAP. (Gambar kecil: Marzuki)
A
A
A

DAP sebuah parti yang bersifat “expansionist”. Parti itu sentiasa ingin meluaskan kuasanya.

Apabila DAP desak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibahagi 50:50 antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, DAP tak bercakap kosong. DAP cuba “test water” dengan bercakap berasaskan data.

Datuk Dr Akmal Salleh sebagai wira UMNO memanglah cakapnya keras. Dia kata takkan tunduk kepada desakan DAP. Kalau DAP berkeras, biarlah UMNO bertanding tiga penjuru dengan PN dan PH.

Tetapi data tidak memihak kepada Dr Akmal.

Memanglah dalam PRN Melaka pada tahun 2021, BN menang 21 daripada 28 kerusi DUN dalam pertandingan tiga penjuru antara PN, BN dan PH. Tetapi dalam PRU15 pada tahun 2022, data menunjukkan undi BN mendahului di hanya 4 kerusi DUN. Undi PN pula mendahului di 10 kerusi DUN dan PH di 14 kerusi DUN.

Kerana itulah DAP minta supaya PH diberi laluan bertanding di 14 kerusi DUN.

Sebagai ingatan, BN kalah di semua kerusi Parlimen di negeri Melaka dalam PRU15. PN menang tiga dan PH menang tiga.

Sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru dalam PRN Melaka akan datang seperti yang dipertegaskan oleh Dr Akmal, dengan PH sebagai kerajaan “incumbent” di peringkat persekutuan, sukar untuk BN mempertahankan kemenangannya di Melaka secara bersendirian.

BN akan kalah.

Artikel Berkaitan:

Kenapa saya kata begitu?

Daripada 14 kerusi DUN yang mana undi PH mendahului parti-parti lain dalam PRU 15, 5 adalah kerusi majoriti bukan Melayu dan 9 kerusi majoriti kecil Melayu.

Tanpa sokongan UMNO pun DAP boleh menang dengan selesa di lima kerusi majoriti bukan Melayu. Di sembilan kerusi majoriti kecil Melayu pula, dengan undi Melayu berpecah kepada tiga (PN, BN, PH), PH mendapat kelebihan dengan sokongan padu pengundi bukan Melayu dan sebahagian pengundi Melayu.

Jadi, sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru di kerusi-kerusi ini, PH tiada masalah untuk menang tanpa sokongan UMNO.

Sebaliknya di 14 kerusi majoriti besar Melayu, UMNO akan berhadapan dengan saingan sengit PN. Di sinilah UMNO memerlukan sokongan DAP. Seperti di Ayer Kuning, UMNO memerlukan “magis” UMNO/DAP mantap untuk menang.

Jika beginilah senarionya, siapa yang ada “trump card” dalam rundingan kerusi nanti? Siapa bergantung kepada siapa? DAP bergantung kepada UMNO, atau UMNO bergantung kepada DAP?

Ya, Ketua Pemuda UMNO bolehlah bercakap berdegar-degar sekarang. Tetapi di meja rundingan nanti akan tahulah siapa yang lebih kuat.

Jika formula 14 PH dan 14 BN diterima, PH bakal mendapat laluan mudah untuk menang di 14 kerusinya. BN pula belum tentu menang di semua 14 kerusi yang ditandinginya kerana berhadapan dengan saingan sengit PN di kawasan-kawasan majoriti Melayu.

Inilah yang DAP mahu.

Selepas PRN nanti, kerusi PH akan lebih banyak daripada kerusi BN di Melaka. Mungkin mereka sudah mula mengintai kerusi Ketua Menteri Melaka.

UMNO/BN sebenarnya dalam dilema. Diluah mati mak, ditelan mati bapak.

Inilah strategi “expansionist” DAP.

Ini baru rundingan di peringkat DUN. Di peringkat Parlimen pula bagaimana?

PH sudah ada tiga kerusi incumbent iaitu Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka. Tiga kerusi ini UMNO/BN jangan mimpilah nak bertanding. PH takkan berganjak.

Di tiga kerusi PN iaitu Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin, UMNO takkan secara automatik dapat bertanding di kerusi-kerusi ini. Mungkin PH akan guna formula 1 untuk PKR, 1 untuk Amanah dan 1 untuk UMNO.

Akhirnya, UMNO mungkin dapat satu sahaja kerusi Parlimen di Melaka. Kalau nasib baik, mungkin dapat dua kerusi. Itupun bertanding belum tentu menang.

Jadi sekurang-kurangnya 4 atau 5 bahagian UMNO di Melaka bolehlah buat persiapan untuk jadi “second fiddle” kepada PH. Buat kerja untuk pastikan kemenangan PH. Tak payahlah nak hantar nama untuk lobi jadi calon.

Ini di Melaka.

Bagaimana pula di Johor iaitu negeri kelahiran UMNO?

UMNO Bahagian Johor Baharu, Pasir Gudang, Pulai, Ledang, Muar, Sekijang, Batu Pahat, Segamat, Sri Gading tak payah hantar nama untuk lobi jadi calon. Ini dahulunya kerusi-kerusi tradisi UMNO, tetapi sekarang kerusi “incumbent” PH.

Mati hidup balik pun PH takkan serahkan kerusi-kerusi ini kepada UMNO. UMNO menjadi lemah di negeri kelahirannya sendiri.

Ini belum masuk cerita persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Dengan majoriti 2/3, Kerajaan Madani boleh tambah kerusi-kerusi Parlimen.

Kawasan-kawasan majoriti bukan Melayu dengan jumlah pengundi yang besar akan dipecahkan kepada dua atau tiga. Dengan ini, DAP mungkin akan dapat tambahan 30-40 kerusi baharu.

Jika dinamika politik tidak berubah, jumlah kerusi DAP selepas PRU 16 mungkin sekitar 70-80 menjadikannya parti terbesar di Parlimen.

Kerusi majoriti Melayu pula bagaimana?

Tak banyak yang akan ditambah kerana jumlah pengundinya tak besar. Jadi UMNO takkan dapat tambahan banyak kerusi. Kalau dapat tambah kerusi di kawasan majoriti besar Melayu seperti di Kelantan, Kedah dan Terengganu pun UMNO bertanding belum tentu menang.

Jika dinamika politik tidak berubah dan UMNO dapat mempertahankan semua kerusi Parlimennya beserta tambahan beberapa kerusi lagi, mungkin jumlah kerusi UMNO sekitar 30-40, iaitu separuh daripada kerusi DAP.

Tetapi sebagai sebahagian daripada Kerajaan Madani, takkan UMNO tak sokong persempadanan semula kawasan pilihan raya. Kalau tak sokong nanti pecah kongsi. UMNO akan sokong lah walaupun manfaat besarnya kepada DAP, bukan kepada UMNO.

Jadi, di zaman UMNO/DAP mantap ini, siapa yang jinakkan siapa? UMNO jinakkan DAP, atau DAP jinakkan UMNO?

Jawablah sendiri.

Inilah strategi “expansionist” DAP. Bergayut dari satu parti Melayu ke satu parti Melayu yang lain untuk meluaskan kuasanya.

BERSATU sedar perkara ini. Pas juga sedar. Kerana itulah BERSATU dan Pas tinggalkan DAP.

Tak tahu lah sama ada UMNO sedar atau tidak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!