Isu 3R: MCMC periksa premis milik pempengaruh

CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak menjalankan pemeriksaan di sebuah premis milik seorang pempengaruh media sosial pada Jumaat berhubung siasatan kandungan yang menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, suruhanjaya itu menjalankan pemeriksaan terhadap premis milik seorang individu bagi mendapatkan keterangan lanjut berhubung siasatan yang sedang dijalankan ke atasnya.
Katanya, siasatan tersebut melibatkan kandungan yang dimuat naik melalui akaun Facebook individu tersebut, yang dipercayai mengandungi elemen jelik melampau berunsur 3R.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang memperuntukkan kesalahan berkaitan penyebaran kandungan lucah, sumbang, palsu, jelik melampau atau mengancam, dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.
"Pemeriksaan tersebut dilaksanakan selepas MCMC memperoleh waran geledah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengikut peruntukan Seksyen 247 AKM 1998," kata kenyataan itu pada Sabtu.
Hasil daripada pemeriksaan itu, menurut kenyataan itu, sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM telah disita untuk tujuan siasatan lanjut.
Selain itu katanya, sesi pemeliharaan data dan rakaman percakapan telah diadakan di Balai Polis Pudu pada Jumaat.
Terdahulu, individu terbabit turut hadir ke Ibu Pejabat MCMC bagi memberikan keterangan berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.
Menurutnya, MCMC ingin menegaskan, tindakan yang dilaksanakan adalah berlandaskan peruntukan undang-undang yang termaktub di bawah AKM 1998.
"Orang ramai dinasihatkan untuk memberikan ruang agar siasatan dapat dilengkapkan dengan telus dan menyeluruh," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
