Berpakaian tradisional berarak serlah semangat perpaduan

Mohamad Sobri (lima, kanan) menyarung busana pahlawan sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Kelantan 2025 pada Sabtu.
Mohamad Sobri (lima, kanan) menyarung busana pahlawan sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Kelantan 2025 pada Sabtu.
A
A
A

PASIR MAS - Lebih 1,000 masyarakat di negeri ini menyertai perarakan Unity Fun Walk- Baju Tradisional dengan menyarung pakaian tradisional pelbagai kaum sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Kelantan 2025 pada Sabtu.

Peserta segak mengenakan busana tradisi termasuk baju kurung Kedah, sari, kain pelekat dan kain batik sarung selain ada yang menggayakan busana pahlawan dan hulubalang Melayu.

Orang ramai yang berpakaian tradisional melakukan senaman sebelum berjalan lebih 2km sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Kelantan 2025 pada Sabtu.
Orang ramai yang berpakaian tradisional melakukan senaman sebelum berjalan lebih 2km sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Kelantan 2025 pada Sabtu.

Lebih menarik, tiupan tetuang dari tanduk kerbau menjadi isyarat pelepasan perarakan sejauh 2.5 kilometer yang dimulakan dengan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Peserta yang ditemui juga teruja menyertai perarakan berkenaan walaupun hanya membuat persiapan di saat akhir kerana kekangan kerja dan keluarga.

Seorang suri rumah, Nik Firah Nik Amran, 36, yang ditemui berkata, ajakan dua anaknya, Sufiya Suhairah Suffian, 7, dan Muhd Syafi Suffian, 10, menyertai perarakan berkenaan menyebabkan dia terpaksa membuat persiapan pada malam sebelum program.

"Saya mengambil masa satu jam ditemani suami, Suffian Hamat, 40, menjahit sendiri seluar dan selempang Muhd Syafi malam tadi yang sangat teruja menyertai perarakan ini," katanya.

Nik Firah (kanan) membetulkan hiasan kepala anaknya yang turut menyertai perarakan Unity Fun Walk- Baju Tradisional
Nik Firah (kanan) membetulkan hiasan kepala anaknya yang turut menyertai perarakan Unity Fun Walk- Baju Tradisional

Bagaimanapun katanya, Sufiya Suhairah memakai pakaian sedia ada kerana memang selalu menyertai program seumpama itu.

Artikel Berkaitan:

Bagi kakitangan kerajaan, Zuki Muhammad, 60, penyertaannya dalam perarakan itu bertujuan mengenang kembali nostalgia zaman remaja ketika di kampung.

"Sukar untuk menganjurkan program perarakan seumpama ini dan saya mengambil peluang untuk dijadikan kenangan bersama rakan-rakan," katanya.

Pasangan suami isteri, Razali Mohd Yusoff, 65, dan Siti Zaleha Che Abdullah, 57, juga teruja menyertai perarakan yang membuktikan keharmonian kaum di negeri ini.

Siti Zaleha sanggup berjalan sejauh lebih 2km dengan memakai terompah kayu yang dibeli khas secara dalam talian sempena acara itu.

"Kami berbelanja hampir RM100 untuk membeli pakaian dengan tema petani zaman dahulu termasuk baju kurung Kedah, terompah dan kain batik lepas," katanya.

Unity Fun Walk- Baju Tradisional dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud.

Turut sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Che Roslan Che Daud; Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kelantan, Zarina Zakaria dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhamad.

Sementara itu, Mohamad Sobri berkata, keunikan perarakan berkenaan mendapat pengiktirafan daripada dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

"Kita menerima penyertaan di luar jangka kerana hanya menyasarkan seramai 1000 penyertaan sebelum ini," katanya.

Mohamad Sobri memberitahu, komitmen semua agensi itu membolehkan Sambutan Minggu Perpaduan dijadikan sebagai acara tahunan dengan penyertaan pelbagai kaum.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!