Tiada lagi penajaan pelajar ijazah pertama ke Timur Tengah

JAIS memaklumkan penajaan ijazah pertama hanya akan diteruskan di Universiti Islam Selangor (UIS) atau universiti tempatan.
JAIS memaklumkan penajaan ijazah pertama hanya akan diteruskan di Universiti Islam Selangor (UIS) atau universiti tempatan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak lagi meneruskan penajaan pelajar peringkat ijazah pertama ke Timur Tengah berkuat kuasa tahun ini kecuali bagi program peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan, penajaan ijazah pertama hanya akan diteruskan di Universiti Islam Selangor (UIS) atau universiti tempatan.

“Ketetapan ini dibuat bagi mengurangkan risiko pelajar jurusan pengajian Islam terdedah dengan pengaruh dan anasir yang mengganggu pemikiran serta jati diri mereka di Timur Tengah.

“Bagi pelajar persendirian yang tidak mendapat tempat di dalam negeri atau memilih ke Timur Tengah dalam pengajian Islam adalah dibenarkan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama di Mesir, Jordan dan Maghribi yang diurus sepenuhnya oleh JAIS.

“Ini bagi memastikan pelajar benar-benar bersedia dari sudut fizikal, mental, mempunyai jati diri yang tinggi, menguasai bahasa Arab, memiliki pengetahuan dan keupayaan penting dalam menghadapi cara pembelajaran, suasana serta cabaran di Timur Tengah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Mohd Shahzihan, penajaan melanjutkan pengajian ke UIS di peringkat ijazah pertama dilaksanakan sebagai satu usaha memperkukuhkan ekosistem pendidikan agama JAIS yang telah wujud di peringkat rendah dan menengah sejak sekian lama.

Menurutnya, UIS dipilih selaras dengan kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang terbukti mampu melahirkan pelajar berkualiti dari segi ilmu dan akhlak serta mampu memenuhi pasaran pekerjaan.

“MAIS dan Kerajaan Selangor mengalu-alukan sebarang permohonan pelajar yang telah tamat ijazah pertama pengajian Islam untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana atau doktor falsafah di Mesir, Jordan dan Maghribi dengan tajaan daripada LZS dan kerajaan negeri.

“Tawaran bagi penajaan peringkat ijazah pertama pengajian Islam ke UIS atau universiti tempatan dan penajaan ke peringkat sarjana serta doktor falsafah akan dikeluarkan melalui iklan pada Jun 2025.

Artikel Berkaitan:

“Sesi temu duga akan dilaksanakan untuk menentukan pelajar yang layak,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!