‘Saya anggap semua jemaah haji macam ibu dan ayah sendiri’

MAKKAH – Di sebalik kelancaran perjalanan ribuan jemaah haji Malaysia dari Madinah ke Makkah, terdapat satu pasukan yang turut menjadi tulang belakang berfungsi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah sepanjang perjalanan jarak jauh itu.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, peranan pasukan Pusat Panggilan Kecemasan Lebuh Raya (PPKL) itu penting bagi memastikan tiada jemaah yang tertinggal atau menghadapi sebarang kesulitan dalam perjalanan.
Menurutnya, bas membawa jemaah haji akan singgah di Perhentian As Sahel, Wadi Starah di sini yang menjadi lokasi persinggahan wajib untuk berehat, makan dan menunaikan solat.

“Di situ ada dua petugas dan tiga pembantu yang sentiasa bersedia menerima kehadiran jemaah.
"Petugas akan memantau pergerakan bas secara dalam talian dan jika berlaku kecemasan di lebuh raya, petugas pasukan PPKL ini akan bertindak segera.
“Tahun lepas, kita pernah menerima laporan kemalangan dan petugas PPKL adalah yang pertama sampai untuk memberi bantuan,” katanya ketika sidang akhbar selepas meninjau pergerakan bas dan operasi dijalankan petugas PPKL.
Tambah Mohd Hisham, pengorbanan petugas di lebuh raya berkenaan wajar dihargai kerana mereka sentiasa bersiap siaga walaupun berada jauh dari tanah suci Makkah, Madinah atau Jeddah.
“Mereka inilah yang memastikan perjalanan jemaah selamat sampai ke destinasi,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus PPKL, Mohd Azir Shahril Ahmad menyifatkan tugas menjaga jemaah haji ibarat menjaga ibu bapa sendiri.

Katanya, tugasnya bermula sejak jemaah bergerak dari Madinah ke Makkah dan fasa kedua nanti dari Makkah ke Madinah.
“Saya anggap semua jemaah haji macam ibu dan ayah saya sendiri. Mereka juga adalah tetamu ALLAH jadi saya kena jaga sebaiknya.
“Saya kena tahu di mana keberadaan bas setiap masa, kalau berlaku kecemasan saya kena tahu lokasi dengan cepat,” katanya yang turut berpengalaman dalam Operasi Masyair sebelum ini.
Mohd Azir berkata, walaupun cuaca panas mencecah 37 darjah Celsius, pasukan PPKL sentiasa bersedia memberi bantuan termasuk jika berlaku kerosakan bas di tengah lebuh raya.
“Biasanya kita akan pastikan jemaah mendapat rehat secukupnya sebelum perjalanan diteruskan. Kita juga akan memastikan bilangan jemaah dikira sebelum bas bergerak semula.

“Setakat ini tiada insiden luar biasa dilaporkan namun kalau ada bas rosak, kita akan ke lokasi secepat mungkin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

